Pahang perlu wartakan kadar cukai tanah

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang perlu gazet remisyen 80 peratus yang diberikan kepada semua pembayar cukai di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung berkata, pewartaan itu bagi memberi jaminan kepada rakyat tiada sebarang penarikan dibuat kerajaan negeri dalam tempoh 10 tahun.

"Kita mahu kerajaan Pahang wartakan atau gazetkan remisyen ini. Kita sebenarnya tidak mahu ia tiada sebarang asas perundangan.

"Bila remisyen ini tidak diwartakan ia boleh ditarik pada bila-bila masa kerana pengumuman ini setakat cakap mulut sahaja," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Chean Chung berkata, maklumat balas kerajaan Pahang selepas mendengar keluh kesah rakyat sangat dialu-alukan dan langkah itu disifatkan tepat sekali gus prihatin dengan situasi rakyat pada masa ini.

Bagaimanapun, Chean Chung mahu satu jaminan secara perundangan diberikan kepada rakyat secara keseluruhan supaya mereka tidak berdepan dengan situasi kenaikan berganda seperti sebelum ini.

"Kita tidak minta lebih cuma mahu jaminan dari segi perundangan sahaja. Kalau boleh wartakan remisyen ini," katanya.

Kelmarin, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan pengurangan 80 peratus diberikan kepada pembayar cukai termasuk tanah industri dan pertanian berkeluasan 40 hektar di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kadar cukai tanah industri dikurangkan 80 peratus

Katanya, menerusi remisyen cukai tanah kategori industri akan turun kepada 50 sen bagi 1 meter persegi berbanding RM2.50 bagi 1 meter persegi seperti yang dikuatkuasakan pada awal Januari lalu.

Remisyen turut diberikan kepada tanah kategori pertanian bagi keluasan melebihi 40 hektar di seluruh negeri menjadikan kadarnya ialah RM250 sehektar berbanding kadar cukai dikuatkuasakan pada 1 Januari iaitu RM300 sehektar.