X

Kindly register in order to view this article
!

Anak Melayu kuasai tarian singa

Pasukan Tarian Singa SK Jerong, Marang.
A
A

MARANG - Tarian singa lazimnya sinonim dengan kaum Cina, namun siapa sangka murid-murid Melayu juga mampu menguasainya

Melalui Pasukan Tarian Singa Sekolah Kebangsaan (SK) Jerong di sini, kesemua tujuh murid yang menyertai pasukan berkenaan tidak menang tangan menerima permintaan untuk persembahan.

Jurulatihnya, Chai Teck Tee mengakui kesemua tujuh murid iaitu Muhammad Syafiq Aiman Surin, 12; Muhamad Faiz Mamat dan kembarnya Muhamad Fahmi, 11; Tun Ahmad Ashraf Dzulkarnain Tun Asnan, 10; Nur Aleesya Balqis Musa, 11; Nur Faqihah Nuriesya Mohd Fairul Nizam, 10, dan Siti Syaza Liyana Osman, 11, mempunyai kemahuan yang tinggi untuk belajar.

Teck Tee, 32, berkata, dia berdepan kesukaran untuk mengajar murid-murid yang terlibat pada peringkat permulaan kerana kesemua mereka tiada asas, namun hanya mengambil masa selama tiga bulan bagi memastikan murid terlibat menguasai asas tarian singa.

"Kami adakan latihan setiap hari Khamis dan Jumaat kerana masa itu lebih fleksibel. Ditambah dengan kemahuan yang tinggi untuk belajar, sesi latihan menjadi sesuatu yang menyeronokkan.

"Mereka kini sudah semakin yakin untuk membuat persembahan dan sudah boleh membuat persembahan tanpa saya. Saya nampak potensi mereka untuk pergi lebih jauh," katanya.

Chai Teck Tee
Chai Teck Tee

Pelajar serba boleh

Sementara itu, Guru Besar SK Jerong, Salmah Abd Rahman berkata, idea penubuhan pasukan tarian singa itu muncul apabila Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Terengganu menawarkan bantuan untuk menubuhkan pasukan tarian singa di sekolah berkenaan.

Mula ditubuhkan sejak Julai tahun lalu, pasukan tarian singa itu disertai tujuh muridnya berusia 10 hingga 12 tahun dengan dibimbing Teck Tee yang juga jurulatih dari Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Terengganu.

"Kita selalu beranggapan tarian singa ini hanya untuk orang Cina sahaja. Jadi, apa salahnya kita cuba sesuatu yang baru. Secara kebetulan, ia memenuhi kriteria Sekolah Amanah yang mahukan pelajar serba boleh, yang mengetahui silang budaya pelbagai kaum.

"Penubuhan pasukan tarian singa ini sendiri memenuhi antara matlamat Sekolah Amanah itu sendiri. Maknanya, murid dapat mengetahui budaya orang Cina, India, Melayu dan lain-lain kaum di Malaysia.

"Bukan itu sahaja, di bawah Kelab Kesenian sekolah, pelajar juga diajar tarian India, Melayu, kompang, silat dan nasyid. Itu bermakna, murid tahu dalam Malaysia ini ada pelbagai kaum dan budaya unik yang boleh kita pelajari," katanya.

Salmah Abd Rahman
Salmah Abd Rahman

Salmah berkata, kebanyakan ibu bapa juga sangat positif walaupun ada yang berpandangan negatif pada permulaan, malah pihak sekolah mengambil inisiatif menubuhkan kumpulan aplikasi WhatsApp untuk memaklumkan perkembangan latihan dan persembahan anak-anak mereka dari semasa ke semasa.

"Sekarang ini, kita sudah boleh lihat hasilnya apabila pasukan ini mendapat banyak undangan untuk membuat persembahan di majlis keraian dan sambutan Tahun Baru Cina.

"Harapan saya, murid-murid ini akan pergi lebih jauh hingga ke peringkat negeri mahupun kebangsaan dengan keunikan yang mereka ada," katanya.

Sesi latihan bersama SJKC Sin Chone, Dungun.
Sesi latihan bersama SJKC Sin Chone, Dungun.

Teruja pelajari tarian singa

Sementara itu, ahli Pasukan Tarian Singa Sekolah Kebangsaan (SK) Jerong, Siti Syaza Liyana berkata, dia dan rakan-rakan seronok mempelajari dan membuat persembahan tarian singa.

Jelasnya, walaupun sukar untuk menguasainya, namun jurulatih dan rakan-rakannya banyak membantu.

Katanya, peluang mempelajari dan membuat persembahan tarian singa membuatkannya lebih berani dan memahami seni budaya masyarakat Cina yang unik.

Difahamkan, hanya dua sekolah rendah yang mempunyai pasukan tarian singa di Terengganu iaitu SK Jerong dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Chone, Dungun.

Salmah dan Teck Tee bersama Pasukan Tarian Singa SK Jerong, Marang.
Salmah dan Teck Tee bersama Pasukan Tarian Singa SK Jerong, Marang.