Cendekiawan kongsi kepakaran tangani isu agama, perpaduan ummah

Anwar (tiga kiri) menyaksikan perjanjian persefahaman antara UniSZA dan IIIT.
Anwar (tiga kiri) menyaksikan perjanjian persefahaman antara UniSZA dan IIIT.
A
A
A

KUALA NERUS - Penganjuran persidangan bersama ahli akademik dan cendekiawan menjadi platform terbaik dalam membincangkan kepentingan maqasid syariah bagi menangani isu-isu keagamaan dan perpaduan ummah di dunia terutamanya di negara ini.

Pengerusi Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu secara tidak langsung menggalakkan perbahasan dan pemikiran yang lebih terbuka.

Menurutnya, kadang-kadang permasalahan Islam itu dilihat terlalu mengongkong sehingga mengundang rasa takut untuk perbincangan.

"Apa yang dibawa dalam persidangan ini pula adalah khazanah ilmu silam tentang maqasid syariah dan tentang dimensi sosial kerana Islam itu juga ada (menyentuh tentang) kebajikan, pendidikan, masalah kemiskinan dalam persidangan yang kita bincangkan sekarang.

"Maqasid syariah ini perlu digalakkan supaya difahami kerana kalau tidak bila berbicara tentang hukum, kita menyalahkan orang tetapi kita perlu tahu apa tujuan hukumannya diperkenalkan syariah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan 'International Conference on Social Islam 2020' bertempat di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.

Persidangan itu dianjurkan Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) dengan kerjasama IIIT dan Fakulti Sains dan Gunaan UniSZA dan disertai lebih 600 peserta dari dalam dan luar negara.

Pada majlis itu juga, mantan Presiden Akademi Feqah Sudan, Profesor Dr Abdel Rahim Ali Mohamed Ibrahim yang berasal dari Sudan dilantik sebagai Profesor Pelawat sepenuh masa di UniSZA.

Artikel Berkaitan:

Antara tugas utama Abdel Rahim adalah membantu INSPIRE dalam penyediaan projek manuskrip Islam dan penglibatan dalam penyelidikan melalui kepakaran dan rangkaian yang ada.