Dua pegawai, seorang anggota polis didakwa rasuah

Salah seorang tertuduh (kanan) dibawa ke mahkamah bagi menjalani prosiding pendakwaan hari ini.
Salah seorang tertuduh (kanan) dibawa ke mahkamah bagi menjalani prosiding pendakwaan hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua pegawai dan seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap pertuduhan menerima rasuah melibatkan RM22,500, antara Mei hingga Jun tahun lalu.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Asisten Superintendan N Ramesh, 52, didakwa dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 16a (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, menerima suapan dan Seksyen 17 (a) SPRM 2009 dan 24 (1) akta yang sama.

Tertuduh didakwa menerima rasuah untuk diri sendiri berjumlah RM9,000 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bagi melepaskan tiga pekerja asing di bawah seliaan seorang lelaki bernama Parimanam @ S P Manan, 70, kira-kira jam 4.30 petang, 28 Mei tahun lalu.

Dia juga didakwa menerima RM1,500 di pejabat IPD tersebut daripada Parimanam pada jam dan tarikh yang sama.

Selain itu, Ramesh turut didakwa dengan dua pertuduhan bersama seorang lagi pegawai polis, Inspektor Mohamad Syafiq Solah, 29, menerima RM7,000 daripada Parimanam untuk melepaskan tiga pekerja warga asing berkenaan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di pejabat IPD berkenaan pada 30 Mei dan 4 Jun tahun lalu.

Bagi pertuduhan lain, Mohamad Syafiq juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 16a (B) Akta SPRM, menerima RM3,000 daripada seorang individu, C Kumar bagi melepaskan tiga pekerja Parimanam yang ditahan polis.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Syafiq didakwa melakukan kesalahan itu pada 3 Jun tahun lalu di lokasi sama.

Mohamad Syafiq juga dituduh bersama seorang lagi anggota polis, Lans Koperal Muizzuddin Muhammad, 32, menerima suapan RM2,000 sebagai dorongan untuk melepaskan tiga pekerja asing yang bekerja dengan Parimanam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 Mei tahun lalu di IPD yang sama.

Ramesh, Mohamad Syafiq dan Muizzuddin juga masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 Kanun Keseksaan iaitu menerima tanpa balasan wang suapan daripada Parimanam untuk melepaskan tiga pekerja asingnya.

Jika sabit kesalahan, kesemua mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi bagi kesalahan mengikut Akta SPRM manakala Seksyen 165 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan utama dengan syarat pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes pada 6 Mac depan.

Ramesh diwakili peguam, Asmadi Hussin dan Azrul Zulkifli Stork sementara Mohamad Syafiq serta Muizzuddin diwakili Ridha Abdah Subri.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Suffian Ja'afar.