Pemimpin BN, PH bercakaran sesama sendiri merugikan - Sapilah

Noraini (dua kiri) dan Sapilah (kiri) dalam Persidangan Wanita UMNO Bahagian Simpang Renggam di Dewan Muafakat MDSR, di Simpang Renggam, Kluang pada Jumaat
Noraini (dua kiri) dan Sapilah (kiri) dalam Persidangan Wanita UMNO Bahagian Simpang Renggam di Dewan Muafakat MDSR, di Simpang Renggam, Kluang pada Jumaat
A
A
A

KLUANG - BN atau Pakatan Harapan (PH) perlu mengelak bercakaran sesama sendiri dalam media cetak atau media sosial kerana memberi perspesi buruk serta merosak perpaduan dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Simpang Renggam, Sapilah Hashim berkata, parti-parti komponen BN atau PH digesa memperkukuh kestabilan serta persefahaman dengan menjaga adab perbezaan pandangan.

Jelas beliau, ini bagi meraih kembali sokongan akar umbi selain memastikan tumpuan Kerajaan Perpaduan dalam mentadbir negara tidak terjejas dengan isu-isu dalaman yang tidak sepatutnya 'dilayan'.

"Wanita UMNO Simpang Renggam menyeru kerajaan menjaga keseimbangan dan koordinasi antara dasar politik dan ekonomi sebagai elemen penting dalam mencapai pembangunan berterusan.

"Semua pihak menyokong penuh keharmonian dan kestabilan politik negara kerana ia prasyarat penting untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan.

"Kami menolak sebarang usaha yang cuba mengganggu gugat keharmonian negara," katanya ketika ditemui selepas Persidangan Wanita UMNO Bahagian Simpang Renggam di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Simpang Renggam di sini pada Jumaat.

Ketua Wanita UMNO yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad merasmikan persidangan tersebut yang turut dihadiri Timbalan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah.

Mengulas lanjut, Sapilah berkata, walaupun menolak perseteruan antara parti BN atau PH, UMNO akan terus mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, ini termasuk memelihara Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan raja-raja sebagai payung negara.

Selain itu katanya, Wanita UMNO Bahagian Simpang Renggam turut mendesak kerajaan agar terus mengiktiraf dan memartabatkan peranan wanita sebagai tonggak pembangunan, penjana ekonomi dan kestabilan negara.

Menurut beliau, sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dijadikan sebagai pembuat keputusan dalam syarikat bekaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).

Kata Sapilah lagi, pihaknya juga nenuntut kerajaan memastikan pihak bertanggungjawab dapat memperkenalkan dasar pendidikan seiring tuntutan industri masa kini dan masa hadapan yang tujuannya dapat mengurangkan kadar pengangguran di negara ini.

Pihaknya turut mengakui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah satu pendidikan yang mempunyai hala tuju dalam pasaran kerja serta penekanan utama dalam amalan industri adalah bertepatan.

"Apabila menjelang musim persidangan seperti ini, kita tidak pernah tertinggal untuk memastikan dan menyegerakan usaha yang berterusan untuk menegakkan keadilan buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!