Tidak kira siapa berkuasa, betul tetap betul dan salah tetap salah - Rasuah Busters

Tangkap layar kenyataan Rasuah Busters pada Rabu.
Tangkap layar kenyataan Rasuah Busters pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Rasuah Busters menegaskan tindakan menggunakan sumber kerajaan menjelang pilihan raya bukan sahaja menimbulkan tafsiran dan persepsi negatif rakyat, namun ia ancaman besar yang mampu menggugat sistem demokrasi negara.

Rasuah Busters dalam satu kenyataan berkata, tindakan tersebut memberi gambaran hipokrasi tidak mencerminkan aspirasi dan komitmen negara yang sedang berusaha memerangi rasuah.

Menurut NGO melawan rasuah dan penyalah gunaan kuasa itu, ia juga langkah terkebelakang bagi pemulihan tadbir urus dan struktur integriti negara malah persepsi berkenaan mencemar segala usaha kerajaan untuk membendung rasuah.

“Pengumuman peruntukan kerajaan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menyalahi mandat serta kepercayaan rakyat dan secara jelas ia mempunyai elemen sogokan serta rasuah.

“Keadilan dalam pilihan raya tidak harus dinodai amalan lapuk membeli undi rakyat dengan menaburkan habuan.

“Sumber kerajaan tersebut perlu diagih secara adil kepada yang berhak tanpa mengira masa dan tempat,” katanya pada Rabu.

No Image Caption

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan sebanyak RM290,000 kepada sembilan masjid dan 20 surau di DUN Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Sumbangan bersempena dengan perayaan Aidiladha itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin di Masjid Abu Ubaidah Ibni Al-Jarrah, Bandar Tasek Mutiara.

Selain itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming turut memperuntukkan hampir RM18 juta bagi melaksanakan projek pembangunan infrastruktur awam melibatkan pembinaan balai bomba, menaik taraf pasar Bukit Panchor dan sumbangan enam Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di kawasan Seberang Perai, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Rasuah Busters berkata, kerajaan perlu sentiasa berhati-hati dengan tata kelola penggunaan sumbernya semasa tempoh sensitif sekitar mana-mana pilihan raya.

“Fungsi biasa harus diteruskan tetapi sebarang tindak-tanduk yang jelas akan mempengaruhi pilihan raya hendaklah dihentikan serta-merta.

“Di Rasuah Busters, fokus kami pada apa yang betul, bukan siapa yang berkuasa. Sumbangan sebegini salah dan kami akan tetap berpegang dengan pendirian ini walau gabungan mana pun yang menerajui kepimpinan negara.

“Tidak kira siapa yang berkuasa, betul tetap betul dan salah tetap salah,” tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!