Derma darah sejak Tingkatan Enam

Kamarul Bahari membuat pemeriksaan kesihatan pada Kempen Derma Darah MDKS di Dewan Siantan semalam.
Kamarul Bahari membuat pemeriksaan kesihatan pada Kempen Derma Darah MDKS di Dewan Siantan semalam.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang penduduk di sini mengakui sudah menderma darah sejak belajar di Tingkatan Enam dan ia menjadi rutin hampir setiap tahun.

Kamarul Bahari Dom Hamzah, 47, yang menetap di Kampung Assam Jawa berkata, sudah 30 kali dia menderma darah bagi mengisi tabung darah negara untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Saya akui sedikit takut terhadap jarum ketika kali pertama menderma darah di Hospital Tanjong Malim.

"Namun semua itu saya ketepikan kerana niat saya ikhlas untuk menyumbang sesuatu kepada orang lain," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Program Kempen Derma Darah Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) di Dewan Siantan di sini semalam.

Bagaimanapun, menurutnya, dia yang bersemangat menderma darah tidak dapat melaksanakan tanggungjawab itu atas nasihat doktor berikutan mengalami tekanan darah tinggi.

"Saya sedikit kecewa selepas dimaklumkan tidak dapat menderma namun saya berharap dapat menyumbang pada masa akan datang," katanya.

Seorang lagi penderma darah yang juga Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) Negeri Selangor, Faridah Mat Hussain, 51, berkata, dia teruja menyertai program seperti itu.

Menurutnya, amalan menderma darah sebati dalam dirinya kerana bukan hanya baik untuk kesihatan tetapi memberi kepuasan apabila membantu mereka yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

“Saya berharap dapat menyertai program derma darah dengan lebih banyak pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat berkata, pihaknya berterima kasih kepada Pusat Darah Negara (PDN) yang sentiasa meneruskan inisiatif murni itu setiap tahun dengan kerjasama Jabatan Khidmat Pengurusan MDKS selaku urusetia dan penganjur dalam menjayakan kempen tersebut.

"Saya difahamkan majlis ini menyasarkan seramai 250 terdiri penganjur kempen derma darah, penderma dan jemputan khas.

"Majlis seperti ini diadakan bagi menunjukkan rasa penghargaan dan terima kasih daripada seluruh rakyat ke atas penderma darah serta penganjur kempen derma darah yang aktif memberikan sumbangan saban hari," katanya.