Subsidi diesel: Pantau media sosial elak sebar maklumat palsu

Pada 9 Jun, kerajaan mengumumkan harga runcit bahan api diesel ditetapkan RM3.35 seliter. Foto Bernama
Pada 9 Jun, kerajaan mengumumkan harga runcit bahan api diesel ditetapkan RM3.35 seliter. Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan meminta agensi berkaitan untuk memantau platform media sosial, bagi memastikan tiada sebaran maklumat palsu dilakukan berikutan penyasaran subsidi diesel kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd Azlan Helmi.

"Walaupun ada kebebasan bersuara tetapi tidak boleh bawa unsur fitnah dan sebagainya. Fakta perlu dibahas dengan fakta. Tak boleh dibahas dengan imaginasi ataupun elemen yang personal dan berorientasikan pihak tertentu.

"Tindakan tegas akan diambil dalam membendung unsur atau gejala ini. Bukan nak menghukum, tapi untuk mendisplinkan masyarakat supaya menyalurkan maklumat yang betul,” katanya selepas merasmikan Pertandingan Muaythai Peringkat Antarabangsa di Dewan Tokong Penganut-Penganut Huat Tian Keong di sini, malam Selasa.

Sementara itu Mohd Azlan berkata, pihaknya turut menyarankan orang ramai berhati-hati serta membuat pertimbangan sewajarnya, dalam memahami tindakan dilakukan kerajaan berhubung penyasaran tersebut.

"Apa yang dilakukan kerajaan ini sebenarnya untuk mencegah penyeludupan dan mengembalikan semula subsidi itu kepada perkara yang lebih mustahak terutama dalam aspek pembangunan, kesihatan dan pendidikan,” katanya.

Azlan berkata, individu yang berkelayakan namun gagal untuk mendapatkan bantuan subsidi diesel tersebut, boleh mengemukakan rayuan beserta bukti kepada agensi berkaitan.

Pada 9 Jun, kerajaan mengumumkan harga runcit bahan api diesel ditetapkan RM3.35 seliter bermula semalam (10 Jun) di Semenanjung manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!