Baju kurung nenek berusia 100 tahun khazanah berharga Juita Jalil

Juita Jalil bercakap ketika temu ramah bersama Bernama di Mahligai Salikin Sidek baru-baru ini. Foto Bernama
Juita Jalil bercakap ketika temu ramah bersama Bernama di Mahligai Salikin Sidek baru-baru ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Memiliki baju kurung tradisional berusia 100 tahun yang diwarisi daripada neneknya, bukan sahaja meninggalkan nostalgia berharga buat Juita Jalil, malah menjadi khazanah kebanggaan bekas model peragaan ini sejak lebih lima abad lepas.

Meskipun dianggap old fashion atau ketinggalan zaman, wanita kelahiran Pulau Pinang ini tidak pernah janggal menggayakan baju kurung pesak berleher teluk belanga dengan jahitan tulang belut yang diwarisi itu ke pelbagai acara yang dihadirinya.

Ibu kepada tiga anak dan tiga cucu ini berkata, baju tradisional itu kelihatan klasik dihiasi poket pada bahagian depan, selain kain yang berkilat seakan kain satin dengan corak kotak keemasan.

"Baju peninggalan arwah nenek saya kesemuanya ada empat helai dengan dua pasang saya masih pakai dan dua lagi saya simpan, tak dipakai.

"Baju itu memang sangat lawa, dan apa-apa yang kita pakai tidak akan jadi old fashion kalau kita tahu macam mana nak menggayakannya,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Juita yang kini adalah Pengetua Biro Pembangunan & Latihan Kepakaran (Tenaga Pengajar) TVET Malaysia berkata, minatnya terhadap pakaian klasik bermula pada usia remaja kerana membesar dengan neneknya yang suka mengenakan pakaian tradisional dilengkapi aksesori seperti kerongsang, cucuk sanggul dan bunga.

"Di rumah nenek saya dulu ada almari khas yang menyimpan baju tradisionalnya, barang-barang kemas serta pelbagai jenis selendang dan kain songket yang dia telah khususkan bila akan dipakai dan untuk ke mana,” imbaunya.

Juita Jalil memperagakan busana Salikin Sidek ketika temu ramah bersama Bernama di Mahligai Salikin Sidek baru-baru ini. Foto Bernama
Juita Jalil memperagakan busana Salikin Sidek ketika temu ramah bersama Bernama di Mahligai Salikin Sidek baru-baru ini. Foto Bernama

Berkongsi cara penjagaan pakaian "berusia”, beliau berkata kaedah yang digunakan adalah berbeza dengan cara penjagaan pakaian biasa bagi memastikan fabrik pakaian itu tidak rosak dan kekal cantik.

Artikel Berkaitan:

Tidak semua fabrik lama boleh dibasuh secara cucian kering dan ada juga baju koleksinya yang tidak boleh dicuci bagi mengelakkan daripada rosak.

"Untuk baju yang tak boleh dicuci, saya akan pakai inner (pakaian lapis dalam) sebelum menyarungnya supaya fabrik tidak terkena kulit dan peluh secara langsung.

"Kemudian, akan lap perlahan-lahan dengan kain lembap sebelum dianginkan beberapa hari di ampaian yang redup,” katanya yang berprinsip tidak akan membeli sesuatu barangan antik berharga lebih daripada kemampuannya.

Kongsi Juita lagi, selain koleksi peribadi, beliau turut menyimpan pakaian tradisional pemberian rakan-rakan yang mengetahui minatnya, seperti selendang dan songket lama yang akan digayakan bersama-sama aksesori seperti subang dan cincin dengan reka bentuk klasik.

Jelasnya, aksesori antik seperti itu juga sukar didapati di pasaran sekarang dan memerlukan penjagaan khusus bagi mengekalkan seri.

"Orang dah tak buat barang lama ini, sebab itu saya suka barang lama. Kita bukan boleh pergi beli di pasar raya dan orang akan beli sebab ia sangat berharga.

"Kalau tak pakai pun, saya akan keluarkan dan lap, kemudian akan simpan di dalam beg plastik atau pau.

Juita Jalil memperagakan busana Salikin Sidek ketika temu ramah bersama Bernama di Mahligai Salikin Sidek baru-baru ini. Foto Bernama
Juita Jalil memperagakan busana Salikin Sidek ketika temu ramah bersama Bernama di Mahligai Salikin Sidek baru-baru ini. Foto Bernama

"Bila kita pakai baju tradisional, tidak kiralah baju kurung, kebaya, ceongsam atau sari yang lengkap dengan aksesori, kita akan terasa seperti sang puteri, selain menunjukkan kita sebagai seseorang yang mempunyai kelas (cita rasa tinggi) walaupun (aksesori) kecil seperti subang dan cincin,” katanya yang akan mewariskan aksesori itu kepada anak-anak perempuannya.

Selain koleksi yang diwarisinya, Juita juga menggemari karya pereka fesyen Salikin Sidek yang dilihat mengekalkan ciri-ciri tradisional pada era dahulu.

"Saya selalu berkolaborasi dengan Salikin dan memperagakan pakaian rekaannya sejak saya mula berkecimpung dalam dunia peragaan.

"Salikin telah memperjuangkan fesyen pakaian tradisional ini sejak 40 tahun lepas,” katanya yang berharap pereka fesyen muda akan menyambung usaha Salikin dalam mempertahankan keindahan fesyen tradisional Melayu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!