X

Kindly register in order to view this article
!

Semua terminal bas bakal laksana sistem beli tiket tanpa tunai

Anthony Loke Siew Fook
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan sedang berusaha untuk memastikan semua terminal pengangkutan bas awam di seluruh negara dapat melaksanakan sistem pembelian tiket menggunakan e-dompet sekali gus menyokong agenda masyarakat tanpa tunai atau ‘cashless society’ yang didukung kerajaan.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, usaha itu akan dilaksanakan secara berperingkat memandangkan terdapat terminal yang masih belum melaksanakan sistem pembelian tiket secara berpusat (CTS).

“Kalau boleh kita mahu semua (terminal guna sistem tanpa tunai) tapi kita kena lihat juga kepada kemudahan yang ada dan keadaan di terminal.

"Jadi yang belum ada kemudahan CTS mungkin sukar untuk kita bagi satu tempoh masa,” katanya selepas tinjauan sempena perayaan Tahun Baru Cina di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan Kamarudin Jaffar.

Menurutnya, syarikat bas terutama bas henti-henti yang mendapat subsidi daripada kerajaan disyarat melaksanakan sistem pembelian tiket tanpa tunai dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat.

"Kita juga yakin syarikat bas ekspres yang melalui destinasi utama turut dapat melaksanakan usaha ‘cashless’ ini kerana beberapa terminal bas utama di negara sudah mengamalkan sistem pembelian tiket tanpa tunai," katanya.

Katanya, antara terminal yang mengamalkan pembelian tiket tanpa tunai adalah Terminal Amanjaya di Ipoh, Perak serta TBS yang baru melancarkan sistem pembelian menggunakan e-dompet hari ini.

Anthony mengedarkan cenderahati kepada para penumpang sebuah bas pada sesi lawatan kerja sempena tinjauan sambutan Tahun Baharu Cina di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) hari ini. - Foto Bernama
Anthony mengedarkan cenderahati kepada para penumpang sebuah bas pada sesi lawatan kerja sempena tinjauan sambutan Tahun Baharu Cina di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) hari ini. - Foto Bernama

“Minggu lepas saya berada di sebuah terminal di Meru, Ipoh (Terminal Amanjaya) juga mengamalkan sistem (e-dompet) ini. Saya memberikan cabaran kepada pihak pengurusan TBS pada minggu lepas sebab Ipoh sudah perkenalkan e-dompet untuk pembelian tiket, mengapa TBS belum.

“Jadi, dalam tempoh seminggu mereka meminta pengendali e-dompet untuk integrasikan sistem tiket mereka dan hari ini mereka berjaya melancarkan e-dompet untuk pembelian tiket di kaunter dan di kiosk,” katanya.

Anthony berkata, tiga pengendali platform e-dompet tersebut adalah Boost, Touch ‘n Go serta GCash.

“Ini memang sesuatu yang amat kita galakkan kerana pada tahun ini, Kementerian Pengangkutan memberikan fokus kepada agenda pendigitalan terhadap perkhidmatan pengangkutan.

"Kita mengharapkan sistem pengangkutan awam dapat menyokong agenda ini supaya mereka dapat mengintegrasikan sistem tanpa tunai dan e-dompet ini dalam sistem tiket mereka sekali gus memudahkan urusan,” katanya.

Sementara itu, Anthony Loke berkata, pada tahun ini Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memberi kelulusan Lesen Perubahan Sementara tambahan kepada 316 bas tambahan sempena Tahun Baru Cina.

Selain itu, TBS juga mencatatkan kira-kira 200,000 penumpang yang menggunakan terminal itu sempena sambutan Tahun Baru Cina, peningkatan sebanyak 16 peratus berbanding tahun lepas. - Bernama