Tiada cadangan hentikan air percuma: MB Selangor

Amirudin meninjau operasi LRA Langat 2 hari ini.
Amirudin meninjau operasi LRA Langat 2 hari ini.
A
A
A

HULU LANGAT - Kerajaan Selangor tidak bercadang menghentikan program pemberian air percuma di negeri itu menerusi Skim Air Darul Ehsan meskipun berdepan kenaikan kos operasi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri masih mampu menampung kos tersebut selain langkah penstrukturan yang dilakukan.

"Sebahagian perancangannya adalah kerajaan negeri telah perkenal Skim Air Darul Ehsan melalui penjajaran semula program untuk kekal relevan dan berterusan.

"Tiada perancangan untuk memberhentikan skim ini kerana kerajaan negeri masih mampu untuk melaksanakannya.

"Malah saya yakin keadaannya akan menjadi lebih sempurna selepas Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd beroperasi sepenuhnya, dengan margin (simpanan air) yang lebih baik sehingga ia mampu membiayai (kos operasi) itu," katanya selepas mengadakan lawatan di Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Amirudin memaklumkan pendaftaran Skim Air Darul Ehsan mendapat sambutan memberangsangkan khasnya tiga hari terakhir sebelum tarikh tutup 31 Disember lalu.

"Kerajaan negeri bersedia membuka semula permohonan selepas selesai pelaksanaan fasa pertama yang kini dalam proses mengumpul data senarai pemohon yang layak," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman memaklumkan lebih 200,000 permohonan Skim Air Darul Ehsan diterima sehingga 31 Disember lalu.

Artikel Berkaitan: