RM60 juta sokong ekosistem pengangkutan KIGIP

Anwar bersama Saarani (dua dari kanan) ketika menyempurnakan Majlis Peluncuran Pelan Induk Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) di Dewan Zainal Abidin Zin hari ini. Foto Bernama
Anwar bersama Saarani (dua dari kanan) ketika menyempurnakan Majlis Peluncuran Pelan Induk Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) di Dewan Zainal Abidin Zin hari ini. Foto Bernama
A
A
A

BAGAN SERAI - Kerajaan menerima cadangan Perak untuk membina susur keluar baharu Lebuhraya Utara Selatan dekat Alor Pongsu, di sini menghubungkan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan pembangunan dianggarkan RM60 juta dilengkapi fasiliti seperti surau dan tandas itu bagi menyokong dan melengkapkan ekosistem pengangkutan kawasan KIGIP.

Menurutnya, lokasi yang dicadangkan terletak antara 3.6 kilometer dari Plaza Tol Alor Pongsu arah utara dan akan menjadi gerbang masuk utama ke KIGIP.

"Pembinaan susur keluar baharu ini juga dapat dimanafaatkan penduduk sekitar seperti Bagan Serai, Kampung Sungai Bogak, Kampung Tali Air dan Pekan Simpang Lima.

"Penduduk setempat akan mempunyai laluan alternatif terbaik ke lebuh raya dengan masa perjalanan dapat dipendekkan kepada kurang 10 minit," katanya ketika berucap dalam majlis Peluncuran Pelan Induk KIGIP di Dewan Zainal Abidin Zain di sini pada Sabtu.

Majlis berkenaan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Dalam majlis itu, Anwar turut mengumumkan kelulusan peruntukan RM60 juta agar projek berkenaan dapat dilaksanakan dalam kadar segera.

Saarani berkata, pembangunan KIGIP menjadi bukti daerah Kerian yang selama ini dikenali jelapang padi negeri, berpotensi dikembangkan sebagai kawasan industri baharu seiring dengan permintaan syarikat konglomerat untuk bertapak di situ.

Artikel Berkaitan:

Katanya, KIGIP yang bertapak di utara negeri juga menjadi pelengkap kepada ikhtiar kerajaan mengukuhkan ekosistem perindustrian di negeri ini.

"Di Selatan, kita sudah ada Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim; di Pantai Barat kita ada Lumut Maritime Industrial City (LUMIC) dan Halal Industrial Park; di Kinta kita ada Silver Valley Technology Park (SVTP).

"Dengan ekosistem perindustrian yang kukuh ini, mudah-mudahan kita dapat menghadirkan limpahan manfaat kepada rakyat melalui kewujudan pusat-pusat ekonomi baharu yang menyediakan pekerjaan selain peluang rakyat berniaga dan mencari rezeki," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, projek KIGIP telah mencapai beberapa perkembangan signifikan antaranya kajian lapangan bagi Fasa 1 seluas 400 hektar yang telah siap sepenuhnya pada Mei 2024 lalu.

Ujar beliau, Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang dipengerusikan sendiri Perdana Menteri pada 16 April lalu telah bersetuju supaya pembangunan KIGIP dilaksanakan oleh SD Guthrie Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

"Timbalan Perdana Menteri (Fadillah) merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air sendiri telah diberi mandat untuk menyelaraskan keperluan utiliti, tenaga, air dan sumber lain bagi menyokong pelaksanaan Projek KIGIP.

"Saya difahamkan bahawa perbincangan awal bersama pihak-pihak terlibat seperti Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Berhad telah dan sedang diadakan bertujuan untuk memudah cara hal-ehwal berkaitan utiliti ini," katanya.

Pembukaan KIGIP diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024 merupakan satu projek pembangunan taman perindustrian yang akan dijana oleh tenaga solar sebagai sumber tenaga hijau utamanya.

Berlokasi strategik di Kerian, KIGIP bakal mencetuskan pelbagai aktiviti ekonomi, peluang pekerjaan tenaga mahir serta pelaburan syarikat-syarikat dalam sektor seperti semikonduktor, elektrikal dan barangan elektronik, logistik, teknologi informasi dan komunikasi serta industri berasaskan pengetahuan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!