Kagum pengorbanan petugas santuni jemaah haji

Mohd Naim melambai ke arah jemaah haji yang sedang berehat sementara menunggu waktu berwukuf.
Mohd Naim melambai ke arah jemaah haji yang sedang berehat sementara menunggu waktu berwukuf.
A
A
A

ARAFAH - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar melahirkan rasa kagum dengan semangat dan pengorbanan petugas haji yang sentiasa menyantuni Dhuyufurrahman.

Mohd Naim berkata, sejak sampai di sini, rata-rata jemaah haji mengucapkan terima kasih kepada Tabung Haji (TH) khususnya kepada petugas yang sentiasa menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

“Saya memanjatkan kesyukuran kerana perjalanan atau rehlah haji telah berjalan dengan baik dan keseluruhan jemaah haji Malaysia telah berada di Arafah.

“Alhamdulillah, saya nak zahirkan rasa kagum dan terharu melihatkan komitmen petugas TH. Ada yang jam 1 pagi bawa jemaah yang uzur ke bilik air. Ini merupakan satu pengorbanan besar yang ditunjukkan oleh petugas haji,” katanya ketika ditemui petugas media selepas melawat jemaah haji di kawasan khemah Arafah, pada Sabtu.

Mohd Naim (tiga, kanan) melawat khemah jemaah haji yang dimasukkan dalam program Peneman.
Mohd Naim (tiga, kanan) melawat khemah jemaah haji yang dimasukkan dalam program Peneman.

Dalam lawatan tersebut, Mohd Naim turut menziarahi khemah jemaah haji uzur yang dimasukkan dalam program Prihatin Tetamu Ar Rahman (Peneman).

Beliau memuji sikap peneman yang berkorban masa dan fizikal untuk memastikan 50 jemaah haji dalam melaksanakan ibadah ketika berwukuf.

“Jemaah haji dalam program ini mengucapkan terima kasih pada peneman. Konsep program ini adalah menjaga jemaah secara individu yang membolehkan petugas memberi tumpuan jaga kebajikan, keselamatan dan kesihatan jemaah haji.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih, syabas dan tahniah kepada peneman yang berkorban masa dan fizikal untuk memastikan 50 peneman ini berada dalam keadaan baik seterusnya dapat menunaikan ibadat haji khususnya berwukuf di Arafah,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memuji pengorbanan yang ditunjukkan oleh petugas perubatan yang menyantuni jemaah haji dalam program Safari Wukuf.

“Ramai dalam kalangan doktor dan jururawat bertugas di Safari Wukuf. Mereka berkorban kerana perlu berada dengan pesakit ketika berwukuf dan ini pengorbanan besar oleh petugas perubatan,” katanya.

Beliau berkata, seramai 74 jemaah haji yang sedang dirawat di Pusat Rawatan TH berjaya melengkapkan ibadat wukuf di Arafah menerusi program Safari Wukuf.

Menurutnya, pesakit yang berada dalam keadaan sedar itu akan dibawa dengan menggunakan bas khas dan masuk ke Arafah untuk seketika bagi melengkapkan rukun haji kedua.

Katanya, ini bermakna semua jemaah yang sedang dirawat di Pusat Rawatan TH berjaya melaksanakan ibadat tersebut.

"Alhamdulillah pagi semalam program Safari Wukuf berjaya dilaksanakan. Ia satu program yang dilaksanakan dengan tujuh buah bas diubah suai kedudukan kerusi untuk membawa pesakit kritikal.

"Mereka kemudian akan dibawa sebentar untuk wukuf, tiba di sini untuk jangka masa pendek. Semua jemaah yang sedang dirawat ini kemudian akan pulang dalam masa segera," katanya.

Mohd Naim berkata, tiada jemaah haji yang dirawat di pusat rawatan berkenaan tidak melaksanakan ibadat wukuf.

"Saya ingin menzahirkan penghargaan kepada semua petugas yang terlibat dalam segala urusan haji bagi musim 1445H/2024M ini terutama kakitangan kesihatan.

"Mereka telah cuba sehabis baik untuk memastikan jemaah haji yang dirawat melaksanakan ibadat wukuf ini," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!