Kontraktor Kedah mohon kerajaan kawal kenaikan harga bahan binaan

Mohammad Fauzee (duduk, tengah) pada sidang akhbar di Alor Setar pada Jumaat.
Mohammad Fauzee (duduk, tengah) pada sidang akhbar di Alor Setar pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Kedah (PKMMNK) memohon kerajaan agar dapat mengawal segera kenaikan harga bahan binaan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, Mohammad Fauzee Mohamad berkata, usaha kerajaan yang mahu mencegah penyeludupan melalui penyasaran subsidi diesel disambut baik, namun tetap memberikan kesan termasuk industri pembinaan.

"Apabila umum sahaja (kenaikan harga diesel), pada keesokan hari kita telah mendapat kenaikan (harga) kepada jentera dalam industri pembinaan seperti jentera-jentera pembinaan.

"Kita juga terima kenaikan harga bahan binaan seperti konkrit dan lain-lain yang dilihat akan terus naik.

"Harap kerajaan akan dapat membantu kontraktor yang ada di seluruh negara yang akan terkesan disebabkan kenaikan harga diesel ini," katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Jelas Mohammad Fauzee, kerajaan perlu mempertimbangkan bagi mengembalikan semula variasi harga (VOP) untuk mengimbangi kenaikan kos binaan yang sedang berlaku.

Menurutnya, PKMMNK memohon langkah terbaik kerajaan agar dapat membantu seluruh kontraktor dalam kawalan untuk mencegah kenaikan harga bahan binaan dan sewa jentera.

“Kalau tak dapat kawal harga barang kena bagi subsidi kepada kita sebab dalam tender, kita tak boleh letak harga lebih daripada ditetapkan kerajaan dan kerana itu pentingnya VOP dikembalikan dalam bentuk sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

“Kaedah penamatan bersama (mutual termination) juga perlu dikembalikan bagi membantu kontraktor menyerahkan semula tender yang diperolehi sekiranya gagal memenuhi obligasi kontrak,”ujar beliau.

Sementara itu, Timbalan YDP PKMMNK, Noordin Md Safar pula berkata, jentera seperti jentolak yang banyak digunakan dalam industri pembinaan mengalami kenaikan sewa daripada RM450 kepada RM600 sehari ketika ini.

Menurutnya, keuntungan yang dijana ketika ini di bawah 20 peratus dan selepas berdepan kenaikan lebih berbanding keuntungan sudah pasti kontraktor berhadapan defisit dalam setiap projek.

"Jika itu terjadi maka banyak projek mungkin terbengkalai sebab kita tak mampu tanggung kos lagi," kata beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!