[VIDEO] Harga barang naik selepas penyasaran subsidi diesel - Muhyiddin

A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penyasaran subsidi diesel hanya menjejaskan golongan kaya dan warga asing tidak boleh dipercayai.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kenyataan Anwar bahawa penyasaran subsidi diesel tidak akan menyebabkan harga barang naik juga ternyata meleset.

Menurut Muhyiddin, sehari selepas kenaikan harga diesel kepada RM3.35 seliter, peniaga bertindak menaikkan harga barangan mereka.

“Tak sampai beberapa hari subsidi diesel ditarik balik kita lihat syarikat penunda kenderaan menaikkan harga perkhidmatan mereka. Adakah golongan maha kaya saja yang kenderaan mereka rosak di tengah jalan? Kereta orang miskin tak rosak?” soalnya lagi dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, harga barang pembinaan dan sayuran didapati turut meningkat.

“Pengeluar konkrit juga menaikkan harga konkrit. Sudah pasti harga rumah akan meningkat selepas ini. Adakah golongan maha kaya saja yang beli rumah? Orang lain tidak beli rumah?

“Saya tengok harga sayur-sayuran seperti timun, cili, sawi juga naik. Adakah golongan maha kaya saja makan sayur. Orang miskin tidak makan sayur? Cakap dia kita tak boleh percaya,” ujar beliau.

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula 10 Jun selaras dengan pelaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.

Menteri Kewangan Il, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penetapan dibuat mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula 'Automatic Pricing Mechanism'.

Terbaharu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 terhadap tiga syarikat masing-masing sektor pengangkutan dan pembinaan serta empat lagi dari sektor minuman dan sewaan jentera.

Kesemua syarikat itu telah mengumumkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan dan akan dipanggil untuk memberi penjelasan berkaitan kewajaran tindakan terbabit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!