Sektor pembinaan, syarikat tunda kenderaan disyaki salah guna diesel bersubsidi

Fahmi (dua dari kiri) pada program Sembang Santai bersama Komuniti Madani Parlimen Pulai, di Taman Desa Rahmat pada Jumaat.
Fahmi (dua dari kiri) pada program Sembang Santai bersama Komuniti Madani Parlimen Pulai, di Taman Desa Rahmat pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sektor pembinaan dan syarikat perkhidmatan termasuk penunda kenderaan antara yang dipercayai menyalahgunakan sehingga dua bilion liter diesel bersubsidi, tahun lalu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sektor pembinaan antara syarikat yang tidak menerima subsidi diesel dan perlu membeli bahan api itu secara rundingan terus dengan pengeluar minyak pada harga industri atau komersil.

Menurut beliau, pengumuman syarikat sektor pembinaan baru-baru ini berhubung kenaikan harga perkhidmatan ditawarkan termasuk simen disifatkan tidak wajar.

"Kecoh sektor pembinaan dan syarikat tunda kenderaan antaranya buat pengumuman mereka perlu naikkan harga simen dan perkhidmatan sebab dakwa sudah tidak terima subsidi diesel," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada program Sembang Santai bersama Komuniti Madani Parlimen Pulai, di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, sejumlah dua bilion liter diesel dipercayai diseleweng atau diseludup tahun lalu berikutan pemeriksaan pangkalan data JPJ mendapati tiada peningkatan mendadak jumlah kenderaan menggunakan diesel di negara ini.

"Tahun lalu, kerajaan dapati dua bilion liter diesel dengan anggaran nilai RM3 hingga RM3.5 bilion diseleweng dengan sejumlahnya telah diseludup dan ada juga dibeli secara haram.

"Jumlah ini amat besar yang sepatutnya digunakan bagi menyediakan prasarana rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Media pada Jumaat melaporkan, KPDN memanggil 10 syarikat yang membuat pengumuman menaikkan harga barang dan perkhidmatan masing-masing pasca penyasaran subsidi diesel yang bermula 10 Jun lalu.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, semua 10 syarikat itu dipanggil untuk memberikan penjelasan mengenai kewajaran tindakan itu.

Notis bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 sudah diberikan kepada semua syarikat terbabit, dengan dua daripadanya sudah dipanggil semalam dan selebihnya akan menyusul.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!