Makan janin haiwan sembelihan

HALAL memakan janin yang didapati dalam kandungan haiwan yang disembelih namun jika ia masih bernyawa, wajib disembelih terlebih dahulu. Foto CANVA
HALAL memakan janin yang didapati dalam kandungan haiwan yang disembelih namun jika ia masih bernyawa, wajib disembelih terlebih dahulu. Foto CANVA
A
A
A

SOALAN:

Apakah janin daripada haiwan yang disembelih halal untuk dimakan?

JAWAPAN:

Secara umumnya, penyembelihan binatang darat merupakan salah satu daripada syarat-syarat yang boleh menghalalkan dagingnya untuk dimakan berdasarkan Firman Allah SWT dalam ayat ke-3 Surah al-Maidah.

Para ulama berselisih pandangan berkenaan hukum memakan janin yang didapati daripada haiwan yang disembelih.

Perbezaan itu berdasarkan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Jabir Ibnu Abdullah RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Sembelihan janin adalah sembelihan ibunya.” (Riwayat Abu Daud)

1 - Menurut Imam al-Nawawi, para ulama Mazhab Syafie berpandangan bahawa janin daripada sembelihan haiwan yang halal dimakan adalah halal (boleh dimakan dan bukan bangkai) sekalipun ia ditemui dalam keadaan sudah mati.

Artikel Berkaitan:

Ini juga merupakan pandangan daripada kalangan sahabat, tabiin serta ulama-ulama terkemudian.

2 - Imam Abu Hanifah dan Imam Zufar berpandangan bahawa janin itu haram dimakan melainkan ia keluar dalam keadaan hidup dan kemudiannya disembelih.

JIKA janin yang ditemui dalam keadaan sudah mati, maka sembelihan janin adalah mengikut sembelihan ibunya. Foto CANVA
JIKA janin yang ditemui dalam keadaan sudah mati, maka sembelihan janin adalah mengikut sembelihan ibunya. Foto CANVA

3 - Imam Malik berpendapat berkenaan hukum janin yang keluar dalam keadaan mati dan beliau membezakannya mengikut beberapa situasi:

i - Sekiranya janin keluar dalam keadaan telah sempurna ciptaannya dan bulu-bulunya telah kelihatan, maka hukum sembelihan janin adalah mengikut sembelihan ibunya dan dagingnya halal dimakan.

ii - Adapun sekiranya janin keluar dalam keadaan belum sempurna ciptaannya dan bulu-bulu juga masih belum kelihatan, maka hukumnya haram dimakan.

Bagaimanapun, Sheikh Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa dalam Mazhab Syafie tidak disyaratkan keharusan itu dengan tumbuhnya bulu-bulu pada janin tersebut.

Kesimpulannya, menurut mazhab Syafie hukum janin yang ditemui daripada sembelihan ibunya perlu dilihat kepada beberapa situasi.

i - Jika ia ditemui dalam keadaan sudah mati, maka sembelihan janin adalah mengikut sembelihan ibunya. Justeru janin itu halal dimakan meskipun janin itu kelihatan sudah sempurna bentuknya seperti bulu sudah mula tumbuh.

ii - Sekiranya janin ditemui dalam keadaan masih hidup (hayat mustaqirrah), maka ia wajib disembelih seperti biasa.

*SUMBER: PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!