Pengapungan harga diesel: Ranhill SAJ tak berhasrat naikkan tarif air

Foto hiasan. Gambar kecil: Abdul Aziz Khan
Foto hiasan. Gambar kecil: Abdul Aziz Khan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ranhill SAJ tidak berhasrat untuk menaikkan tarif air di negeri ini susulan pengapungan harga diesel yang dilaksanakan kerajaan baru-baru ini.

Ketua Pegawai Kewangannya, Abdul Aziz Khan Alior Khan berkata, ini berikutan syarikat pengendali perkhidmatan air itu telah pun memperkenalkan tarif baharu air bagi negeri Johor pada kadar RM1.05 satu meter padu, Februari lalu.

“Kita tak nafikan pemansuhan subsidi diesel di Semenanjung memberi tempias kepada operasi yang banyak bergantung kepada jentera berat termasuk lori.

“Tidak dinafikan kos operasi kita pun akan terkesan setelah banyak jentera kita bergerak termasuk ke lokasi paip pecah dan menangani aduan rakyat, ini memberi kesan kepada langsung kepada pertambahan kos syarikat.

“Apa pun dalam keadaan seperti ini, kita tidak boleh sewenang-wenangnya memindahkan kos operasi itu kepada kenaikan tarif air di negeri ini kerana kenaikan tarif perlu dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan tertakluk kepada undang-undang suruhanjaya itu," katanya.

Abdul Aziz Khan berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Ranhill SAJ, Anuar Abdul Ghani.

Untuk rekod, Ranhill SAJ sebelum ini melaksanakan pelarasan tarif air baharu bagi kategori domestik bermula 1 Februari 2024 sepertimana yang diputuskan kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Abdul Aziz Khan berkata, terlalu awal bagi pihak Ranhill SAJ membincangkan soal cadangan kenaikan tarif air berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Ranhill SAJ masih perlu membuat perkiraan terperinci kepada pertambahan kos operasi hasil pengapungan harga diesel di Semenanjung.

“Kalau kita lihat kepada pertambahan kos diesel daripada RM2.15 kepada RM3.35 seliter, kita boleh jangkakan kenaikan kos ini bakal memberikan impak yang signifikan.

“Oleh itu, buat masa ini kita belum boleh kata tiada kenaikan tarif akan berlaku di masa akan datang, itu akan ditetapkan oleh SPAN untuk menentukannya," katanya.

Dalam pada itu, Anuar berkata, tiada gangguan bekalan air akan berlaku di negeri ini sempena Aidiladha nanti.

Anuar berkata, pihaknya telah berjaya mengatasi gangguan yang berlaku pada Aidilfitri lalu, sebagaimana yang pernah dilakukan di Kampung Murni Jaya.

"Saya yakin dan percaya gangguan itu tidak akan berulang kerana masalah gangguan itu sudah diatasi sepenuhnya,' katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!