Benarkah pelaksanaan pengapungan harga dapat bantu pulih ekonomi?

No Image Caption
A
A
A

Langkah kerajaan melaksanakan pengapungan harga di pasaran antara lain bagi memastikan manfaat subsidi diberikan sebelum ini hanya dinikmati rakyat yang berhak, bukan warga asing dan golongan maha kaya.

Selepas ayam dan diesel, ada pula cadangan atau desakan yang mahukan rasionalisasi subsidi ke atas barangan seperti gula dan minyak masak.

Namun, timbul juga persoalan daripada beberapa pihak, apakah keputusan kerajaan membenarkan kuasa pasaran menentukan harga diesel dan ayam adalah tindakan yang rasional?

Dalam situasi inflasi dan keadaan ekonomi yang bergerak ke arah kestabilan, ditambah pula pelbagai isu lain termasuk spekulasi mengenai kekurangan bekalan dan dakwaan kewujudan kartel, ada pihak mahukan kerajaan terus memainkan peranan penting dalam mengawal harga barangan keperluan itu.

Mungkin bagi kebanyakan pihak mengapungkan harga dan menghapuskan subsidi dilihat logik, namun pada masa sama ada juga kesan jangka panjang kepada pengguna.

No Image Caption

Melalui Belanjawan 2024, kerajaan mengumumkan beberapa pelan rasionalisasi antaranya penamatan harga siling ayam mulai 1 Nov lalu manakala subsidi diesel pula dihapuskan secara berperingkat berdasarkan garis masa ditetapkan kelak.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata langkah itu bagi memastikan kawalan harga dan subsidi dikekalkan untuk keperluan lain memanfaatkan golongan memerlukan selain memastikan kemampanan fiskal.

Artikel Berkaitan:

Namun, kita dapat lihat selepas pengapungan harga ayam dilaksanakan, harga jualan makanan mentah itu terus melonjak sehingga RM10 sekilogram. Maka pengguna ada yang mula mengeluh dengan kenaikan itu kerana ia turut memberi kesan kepada kenaikan harga makanan berasaskan ayam.

Namun, kerajaan ada rasional tersendiri di mana dijangka berlaku penjimatan besar dalam perbelanjaan negara dan rakyat golongan berpendapatan rendah bakal menikmati manfaat lebih meluas. Contohnya RM4.1 bilion dengan menyasarkan subsidi elektrik hanya untuk golongan berpendapatan rendah pada separuh tahun 2023.

Penjimatan daripada subsidi pukal dialihkan ke program bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), di mana kadar maksimum meningkat daripada RM3,100 ke RM3,700. Tambahan lagi, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi isi rumah turut dinaikkan daripada RM600 ke RM1,200 tahun ini.

Tahun ini, perbelanjaan subsidi dijangka melebihi RM81 bilion.

No Image Caption

Tekanan bekalan

Namun, dalam usaha kerajaan melaksanakan pengapungan harga, kesan seiring yang berlaku adalah tekanan bekalan berikutan pembekal ayam tidak dapat memaksimumkan keuntungan walaupun permintaan meningkat kerana mereka tidak dibenarkan menaikkan harga disebabkan penetapan harga siling.

Mereka juga berdepan masalah menyerap kos tambahan apabila harga makanan ayam meningkat, juga disebabkan harga siling.

Dalam sifir mudah orang berniaga, bila wujud keadaan yang membuatkan keuntungan semakin mengecil, maka timbul situasi kurang minat untuk pengeluar meningkatkan pengeluaran, sehingga boleh menyumbang kepada masalah bekalan di pasaran sehingga menyukarkan pengguna.

Bukan itu sahaja, minat pelabur untuk melabur dalam sektor berkenaan juga mungkin berkurangan dan ia memberi kesan kepada penetapan paras gaji rendah, lebih buruk ramai berisiko hilang kerja.

Pengeluar mungkin mengambil jalan keluar untuk membekalkan produk berkualiti rendah atau terpaksa menutup perniagaan, yang membawa kepada tekanan bekalan.

Ancaman persaingan

Pada masa sama, penetapan harga siling turut mengurangkan minat penyertaan pemain-pemain baharu dalam sektor berkenaan dan ia secara tidak langsung mengehadkan persaingan dalam pasaran.

No Image Caption

Biasanya, lebih ramai pemain bermakna persaingan lebih sengit, membawa kepada pengurangan harga yang baik untuk pengguna.

Sebaliknya, harga siling menghalang pembekal daripada memaksimumkan keuntungan, sekali gus mengurangkan insentif untuk pihak lain memasuki pasaran.

Kesan negatif daripada kekurangan persaingan adalah jelas dalam pembekalan makanan kepada penternak ayam.

Siasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) tahun lalu mendedahkan lima pengilang makanan ayam tempatan yang didapati bersalah dalam bersubahat untuk mengekalkan harga makanan ayam pada awal 2020 dan pertengahan 2022. Mereka didenda RM415.5 juta.

Memandangkan makanan ayam menyumbang 70 peratus daripada kos pengeluaran, kumpulan yang dilabelkan sebagai kartel industri tersebut memberi tekanan kepada margin keuntungan yang sudah kecil untuk pembekal ayam.

Sebaliknya, mekanisme pengapungan harga membolehkan penternak ayam menaikkan harga untuk menampung kos tambahan.

Ini juga merupakan insentif untuk pemain baharu memasuki pasaran, membawa kepada peningkatan bekalan dan harga lebih rendah.

Gula dan minyak masak seterusnya?

Mungkinkah selepas pengapungan harga ayam dan diesel, kerajaan bergerak pula untuk melaksanakan tindakan sama ke atas barangan keperluan lain seperti gula dan minyak masak dalam usaha merasionalisasikan subsidi?

Untuk rekod, Industri gula adalah bersifat duopoli, di mana MSM Malaysia Holdings Bhd mempunyai 60 peratus bahagian pasaran manakala Central Sugars Refinery (CSR) Sdn Bhd menyumbang baki 40 peratus.

No Image Caption

Pada Mei tahun lalu, kedua-dua syarikat mula membuat 'desakan halus' dengan meminta kerajaan menaikkan harga siling gula di pasaran runcit sebanyak RM1 daripada paras RM2.85 sekilogram, kata mereka sudah lama ditetapkan pada kadar itu sejak 2018.

Susulan itu pula, pada November, Pengarah Urusan Rangkaian Runcit Mydin Mohamed Holdings Bhd, Ameer Ali Mydin, berkata kerajaan perlu mengapungkan harga gula atau menaikkan siling kepada RM3.80.

Pada pandangan beliau adalah 'tidak munasabah' mengekalkan harga siling semasa di tengah-tengah kenaikan kos bahan mentah.

Menurutnya, MSM dan CSR perlu menanggung kos sebanyak 80 sen bagi setiap kg gula yang dihasilkan.

Sementara itu, dalam isu berkaitan terdapat juga suara-suara yang mahu supaya subsidi minyak masak peket 1kg turut ditarik balik.

Pada sidang Dewan Rakyat 27 Nov lalu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Ghani mencadangkan subsidi minyak masak yang dijual dalam bungkusan 1kg digantikan dengan bantuan tunai terus kepada golongan berpendapatan rendah.

Menurutnya, bawah sistem semasa, perniagaan besar akan membeli minyak masak secara pukal pada harga subsidi dan kemudian menjualnya kepada firma kecil untuk mendapatkan keuntungan.

Jelas Johari lagi, tindakan menghapuskan subsidi akan memastikan minyak masak peket 1kg dapat dijual pada harga pasaran manakala kerajaan dapat menjimatkan subsidi dan mengelakkan ketirisan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata kerajaan menjalankan audit penjualan minyak masak bersubsidi di seluruh negara sejak Oktober bagi menyelesaikan isu ketirisan.

Katanya, ia akan membantu Putrajaya menentukan keperluan sebenar dan memperkemas kaedah pemberian subsidi.

Sebanyak RM500 juta diperuntukkan untuk subsidi minyak masak namun unjuran menunjukkan peningkatan hampir empat kali ganda iaitu RM1.9 bilion.