'Tarif air baharu, bukan alasan naik harga barang'

Armizan (tengah) dan Ab Rauf (kanan) ketika meninjau ruang telur ayam di pasar raya berkenaan.
Armizan (tengah) dan Ab Rauf (kanan) ketika meninjau ruang telur ayam di pasar raya berkenaan.
A
A
A

ALOR GAJAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran kepada peniaga supaya tidak melakukan sebarang unsur pencatutan dan menaikkan harga barangan pada kadar melampau berikutan kadar baharu tarif air pada Februari depan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, bagi memastikan keadaan itu tidak berlaku, pihaknya mengalu-alukan aduan pengguna sekiranya terdapat kenaikan barang di paras membebankan rakyat.

Menurutnya, sebarang aduan membabitkan pencatutan akan dilakukan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

"Kita akan meneliti dan menerima sebarang aduan sekiranya terdapat unsur-unsur pencatutan dan kita harap ia tidak berlaku.

"Sebab air ini bukanlah secara langsung harga barangan akan (naik)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jualan Ihsan Rahmah (PJIR) Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di pasar raya di Masjid Tanah, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Soo Chin dan Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar.

Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 17 Januari lalu memaklumkan tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dikuatkuasakan bermula 1 Februari depan membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PJIR TMM2024 adalah inisiatif awal yang dirintis agar sekumpulan pemain industri sektor peruncitan termasuk pasar raya dapat mewujudkan kerjasama strategik dengan KPDN untuk menawarkan program jualan diskaun bulanan.

Ujar beliau, program yang akan dilaksanakan secara serentak di seluruh negeri pada setiap 24 hari bulan akan melibatkan 11 jenama pasar raya dan hypermarket di 58 lokasi premis peruncitan.

Kata beliau, penawaran harga rahmah itu termasuk barangan keperluan dapur dan harian seperti lampin pakai buang bayi, sabun mandi, sabun pencuci pinggan, beras, telur, minyak masak botol dan susu pekat.

"Ini juga akan menyaksikan 24 barangan ditawarkan diskaun antara 10 hingga 30 peratus bermula Januari sehingga Disember.

"Kita mahu rakyat melihat TMM bukan sekadar meraikan pelancong atau meraih nikmat ekonomi untuk negeri, malah rakyat tempatan juga mendapat limpahan manfaat," ujar beliau lagi.