Penggunaan Seksyen 26 Akta Keterangan selari peruntukan undang-undang - Mohd Shuhaily

Mohd Shuhaily ketika sidang media khas Pengarah JSJ di Bukit Aman di sini hari ini. - Foto Bernama
Mohd Shuhaily ketika sidang media khas Pengarah JSJ di Bukit Aman di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menjelaskan penggunaan Seksyen 26(1) Akta Keterangan untuk merekodkan pengakuan ibu Zayn Rayyan Abdul Matiin, Ismanira Abdul Manaf, di hadapan Majistret pada Rabu adalah selari dengan peruntukan undang-undang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memberitahu, sebarang bentuk pendedahan yang dibuat ketika siasatan perlu disahkan kebolehterimaannya di mahkamah.

"Jadi dalam konteks siasatan ini, sudah tentu ada kenyataan-kenyataan yang diambil. Justeru kita membuat keputusan sebarang pendedahan yang dibuat orang yang disyaki (OYDS) tersebut, ingin kita sahkan kebolehterimaannya di mahkamah kelak.

"Atas alasan itu kita menggunakan Seksyen 26(1) Akta Keterangan semalam (Rabu)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, pada Khamis.

Mohd Shuhaily menjelaskan, maka tidak timbul persoalan mengenai media tidak dimaklumkan berhubung perkara itu kerana OYDS masih lagi dalam tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

"Justeru Seksyen 28A (8) Kanun Tatacara Jenayah (polis diberikan hak untuk menolak permohonan peguam untuk berjumpa anak guam) masih boleh digunakan.

"Kami hanya menggunakan segala peruntukan undang-undang yang ada di bawah bidang kuasa sebaik mungkin untuk menyiasat dan membawa kes ini kepada pendakwaan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sepanjang enam bulan siasatan dijalankan sejak Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember tahun lalu, polis menggerakkan semua aset dan logistik untuk menyelesaikan kes berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Setiap butiran terperinci dari sekecil-kecil fakta, keterangan dan bukti dianggap penting dalam menyelesaikan kes pembunuhan Zayn ini.

"Secara spesifiknya satu 'task force' (pasukan khas) dibentuk bagi mengumpul bukti sehinggalah siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh berdasarkan petunjuk dan bukti yang kita peroleh di lokasi kejadian dan bedah siasat," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily menambah, selepas perbincangan dengan pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP), berdasarkan segala bukti dan keterangan yang ada, maka pihak pendakwaan memutuskan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.

Seksyen itu, katanya, membawa hukuman denda RM50,000 atau penjara selama 20 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pun begitu katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan dengan lebih lanjut sekiranya ada arahan terbaharu daripada pihak DPP. - Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!