Guru agama maut: Sudah tempah kerbau untuk kenduri kahwin Nur Ain

Nur Ain Fitriah (dua dari kiri) yang bergambar dengan ahli keluarganya sebelum ini. Gambar kanan: Keadaan kenderaan mangsa yang remuk selepas terbabit kemalangan. Foto Pembaca Sinar harian
Nur Ain Fitriah (dua dari kiri) yang bergambar dengan ahli keluarganya sebelum ini. Gambar kanan: Keadaan kenderaan mangsa yang remuk selepas terbabit kemalangan. Foto Pembaca Sinar harian
A
A
A

BACHOK - Keluarga kepada guru agama, Nur Ain Fitriah Zakaria, 25, yang maut dalam kejadian di Kampung Kubang Telaga di sini sudah menempah seekor kerbau untuk majlis perkahwinannya pada Januari tahun hadapan.

Bapanya, Zakaria Mat, 54, berkata, selain itu persiapan lain termasuk barangan hantaran dan baju pengantin sudah ditempah.

"Nur Ain Fitriah sudah bertunang dengan jejaka dari Jerteh, Terengganu. Kalau ikut perancangan enam bulan lagi kami akan menerima menantu.

"Namun kami reda dengan apa yang berlaku," katanya kepada pemberita ketika menerima kunjungan daripada Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan, Nora Yaacob di Kampung Lubuk Tembusu, Kubang Telaga di sini, pada Khamis.

Sebelum itu Nora telah menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM3,000, Faedah Orang Tanggungan melibatkan bayaran bulanan berjumlah RM1,040 serta kotak prihatin.

Zakaria (tiga, kiri) semasa menerima kunjungan daripada PERKESO yang diketuai oleh Nora (tiga, kanan) di Kampung Lubuk Tembusu, Kubang Telaga di Bachoki, pada Khamis.
Zakaria (tiga, kiri) semasa menerima kunjungan daripada PERKESO yang diketuai oleh Nora (tiga, kanan) di Kampung Lubuk Tembusu, Kubang Telaga di Bachoki, pada Khamis.

Menurut Zakaria, Nur Ain Fitriah merupakan anak kedua daripada lima beradik dan baharu setahun tinggal bersama keluarga selepas tamat pengajian di Mesir.

Ujarnya yang merupakan Imam Muda Masjid Mukim Kubang Telaga, Nur Ain Fitriah sangat rapat dengannya serta baharu tiga bulan memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Menengah Ugama (SMU) Al Hidayah Islamiah.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, anaknya itu cukup suka bahasa, malah selain bahasa Arab arwah juga pandai bahasa Cina dan beberapa bahasa lain.

"Pemergian Nur Ain Fitriah sangat dirasai, namun kami reda," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Nora memberitahu, ibu serta ayah dan dua adik Nur Ain Fitriah bakal menikmati Faedah Orang Tanggungan melibatkan bayaran bulanan berjumlah RM1,040.

Menurutnya, kedua-dua adik arwah akan menerima faedah tersebut sehingga berusia 21 tahun, manakala kedua ibu bapanya hingga akhir hayat.

"Walaupun baharu tiga bulan bekerja namun keprihatinan serta tanggungjawab YIK (Yayasan Islam Kelantan) yang menjalankan tanggungjawab sebagai majikan membolehkan arwah dibantu oleh PERKESO," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!