NIMP 2030 tawar peluang penting kepada bank, pasaran modal

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

PELAN Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang memerlukan pelaburan bernilai RM95 bilion dalam tempoh tujuh tahun akan datang menawarkan peluang baharu kepada kalangan bank dan pasaran modal untuk menginovasi dan menawarkan produk pembiayaan yang sesuai bagi membiayai sektor dan teknologi baharu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan mahu sektor kewangan melakukan peranan lebih aktif dalam mencapai misi yang ditetapkan NIMP 2030 dan dasar terbaru Strategi Semikonduktor Nasional (SSN) yang dilancarkan pada Mei lepas.

"Sebagai bekas ahli perbankan, saya yakin sepenuhnya perkara ini akan menjadi situasi ‘menang-menang’ untuk institusi kewangan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama perasmian pada Simposium Sasana Bank Negara Malaysia 2024 melalui rakaman video di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, walaupun institusi kewangan perlu sentiasa mengutamakan keuntungan jangka pendek namun, keseluruhan sektor itu juga mesti mengambil perspektif jangka panjang dalam membiayai agenda pembaharuan struktur.

"Petanda pembaharuan yang berjaya dan pembinaan negara sebenar adalah penamat yang bersifat menang-menang untuk semua pihak berkepentingan. Menjamin pertumbuhan mampan masa depan Malaysia juga bermakna menjamin aliran pendapatan masa depan bank dan institusi kewangan,” katanya.

Beliau menjelaskan, NIMP 2030 dirangka untuk memberi panduan kepada industri Malaysia ke arah kemajuan teknologi, kemampanan dan penyepaduan lebih baik ke dalam rantaian nilai global.

"Dalam mencapai perkara ini, kerajaan juga telah mengenal pasti kepentingan perusahaan kecil dan sederhana serta keperluan untuk meningkatkan lagi sumbangan mereka kepada sektor dan ekonomi secara keseluruhan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, seiring semua usaha itu pasti akan meningkatkan tahap pendapatan, memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia merentasi semua segmen pendapatan.

Artikel Berkaitan:

Pelaburan dalam sektor yang disasarkan juga bertujuan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji tinggi, katanya.

Beliau berkata, tidak seperti Pelan Induk Perindustrian terdahulu, pendekatan Malaysia kali ini adalah ‘berasaskan misi’.

"Ini bermakna meletakkan setiap tumpuan pihak berkepentingan kepada empat misi utama iaitu meningkatkan kekompleksan ekonomi; menaik taraf dengan teknologi terbaik dalam kelasnya; mendorong sifar bersih dan menggalakkan jaminan ekonomi, daya tahan dan keterangkuman,” katanya.

Perubahan struktur yang digariskan NIMP adalah penting dan perlu untuk memastikan manfaat daripada aktiviti ekonomi tambahan benar-benar mengalir kepada rakyat, katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!