Suri rumah buat laporan palsu diragut didenda RM1,200

Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur pada Rabu menjatuhi hukuman denda RM1,200 ke atas seorang suri rumah yang mengaku membuat laporan polis palsu bahawa dia telah diragut oleh dua individu sehingga menyebabkan kerugian lebih RM700,000. Gambar hiasan

A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret di sini pada Rabu menjatuhi hukuman denda RM1,200 ke atas seorang suri rumah yang mengaku membuat laporan polis palsu bahawa dia telah diragut oleh dua individu sehingga menyebabkan kerugian lebih RM700,000.

Majistret Aina Azahra Tun Ariffin memerintahkan Karen Lee Chy Na, 35, dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Karen didakwa memberi maklumat palsu kepada Koperal Muhammad Sharil Zainal Abidin bahawa dia telah diragut oleh kedua-dua individu yang kemudian melarikan diri dengan pasport miliknya dan tiga utas jam tangan bernilai RM779,000.

Mengikut pertuduhan, perbuatan tertuduh telah menyebabkan Inspektor Ahmad Souffi Mohd Shaffei menjalankan kuasa-kuasa menyiasat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter pertanyaan Balai Polis Travers, Brickfields di sini pada 11.20 pagi 10 Jun lepas mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran manakala peguam Simret Singh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan meminta denda ringan atas alasan anak guamnya hanyalah seorang suri rumah. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!