Kedah tiada kaitan keputusan lelongan Perkampungan Tok Senik

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri tidak ada kaitan dengan keputusan Kementerian Kewangan (MOF) melelong Projek Perkampungan Tok Senik di Langkawi yang didakwa mengalami kerugian besar sehingga RM250 juta.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya juga tidak mempunyai maklumat berhubung tindakan terbabit.

Beliau menambah, pusat peranginan itu bukanlah di bawah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), sebaliknya ia dipercayai projek swasta di bawah MOF.

"Tidak (berada) di bawah LADA. LADA hanya ada kaitan dengan tanah (sebab) LADA tidak buat projek.

"(Kebiasaannya) ada tanah milik LADA (namun) projek sebegitu swasta yang buat. Nanti, saya akan dapatkan maklumat lain," katanya kepada pemberita pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.

Tegas Muhammad Sanusi, cadangan melelong pusat peranginan terbabit adalah keputusan MOF dan kerajaan negeri tidak mempunyai peranan dalam hal itu.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, ada banyak projek MOF di Langkawi ketika dahulu yang didapati bermasalah.

"Ketika saya masuk sebagai Pengerusi Bersama LADA, kemudian kita mula teliti (dan mendapati) ada dahulu buat projek (namun) geran tanah tidak ada sebab dibuat atas rizab sungai.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, saya kata kena buat pemutihan dengan pemberian geran (dan) apabila dapat geran (maka) barulah kerajaan dapat bagi peruntukan untuk baik pulih. Apabila geran tak ada, projek ratus juta jadi terbengkalai (dan) ada banyak," katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi menambah, proses pemutihan termasuklah pemberian geran sedang dilakukan demi menyelamatkan projek-projek bermasalah tersebut.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Projek Perkampungan Tok Senik di Langkawi didakwa mengalami kerugian besar sehingga RM250 juta menyebabkan MOF dalam proses melelong pusat peranginan tersebut.

Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin memaklumkan, PAC akan meneliti isu tadbir urus seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berkaitan resort berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!