Pencapaian terbesar SRC, RM3.6 bilion dalam bank Switzerland: Najib

Najib (tiga dari kiri) beredar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd.
Najib (tiga dari kiri) beredar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju bahawa pencapaian terbesar SRC International Sdn Bhd adalah apabila ia 'meletakkan’ RM3.6 bilion ke dalam bank di Switzerland.

Najib, 67, berkata, wang yang diletakkan di BSI Limited Bank di Lugano, Switzerland itu adalah untuk pelaburan dalam sumber tenaga semula jadi dan ia 'ditempatkan' di bank itu hanya sebagai 'transit'.

Beliau berkata demikian selepas bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan pada sesi pemeriksaan balas oleh pendakwa ad hoc, Datuk V Sithambaram pada hari ke-71 perbicaraannya berhubung dakwaan penyelewengan RM42 juta dalam dana SRC di Mahkamah Tinggi di sini.

Sebagai respons, Sithambaram secara menyindir berkata, tempoh 'transit' selama tujuh tahun sejak pinjaman pertama RM2 bilion dan RM2 bilion lagi dikeluarkan masing-masing pada 2011 dan 2012 sehingga 2018 apabila Najib melepaskan jawatannya, adalah terlalu lama.

Najib tidak menjawab apa-apa.

Sithambaram kemudiannya mencadangkan kelulusan jaminan kerajaan yang kedua bagi pinjaman kedua SRC adalah luar biasa kerana ia berlaku disebabkan kepentingan Najib dalam syarikat sumber strategik itu.

Sithambaram: Sebagai Perdana Menteri, merangkap Menteri Kewangan, anda tidak mendapatkan kelulusan bagi pinjaman (kedua) kerana ia akan mewujudkan terdapat konflik kepentingan.

Najib: Saya tidak bersetuju.

Artikel Berkaitan:

Najib mengulangi bahawa pinjaman kedua diluluskan kerana beliau berharap prestasi SRC akan bertambah baik, walaupun beliau telah mendapat gambaran mengenai apa yang berlaku dalam SRC.

“Saya mempunyai keyakinan terhadap mereka yang menduduki lembaga (pengarah) kerana mereka adalah individu yang mempunyai kelayakan tinggi yang berjaya dalam dunia korporat sebelum ini.

“Saya jangka mereka berupaya untuk meneruskan dengan pelaburan itu disebabkan rekod mereka dalam badan korporat,” tambahnya.

Sithambaram turut mencadangkan Najib sepatutnya mengelak daripada menyertai mesyuarat Kabinet yang meluluskan jaminan kerajaan bagi pinjaman kedua Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kerana kehadirannya sebagai Perdana Menteri mungkin akan mempengaruhi lain-lain menteri, namun ia tidak dipersetujui Najib.

Sithambaram: Saya mencadangkan kepada anda, selain menghantar wang ke Switzerland, tiada apa yang dicapai oleh SRC selepas jaminan kerajaan pertama.

Najib: Ya.

Sithambaram: Selepas beberapa mesyuarat dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, anda tidak maklumkan kepada Kabinet bahawa syarikat itu tidak membuat apa-apa dengan pinjaman pertama KWAP.

Najib: Tidak, saya tidak maklumkan.

Sithambaram: ... dan tuan, anda bersetuju bahawa tiada apa yang boleh ditunjukkan (kepada negara) daripada RM4 bilion yang diperoleh SRC semasa anda melepaskan jawatan?

Najib: Ya, saya setuju.

Sithambaram turut mencadangkan kepada Ahli Parlimen Pekan itu, sekiranya RM4 bilion itu miliknya sendiri, dia akan meletakkan di tempat yang dia tidak tahu bagaimana ia akan berkembang (bertambah) dan Najib tidak memberikan respons terhadap cadangan itu.

Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd yang terdiri daripada tiga pertuduhan jenayah pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berkaitan dengan dana SRC.

Perbicaraan disambung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. - Bernama