Barang keperluan dijamin cukup sepanjang Tahun Baru Cina

Salahuddin (tengah) mengagihkan sampul angpau serta limau mandarin kepada penduduk ketika turun padang melawat kawasan DUN Simpang Jeram sempena sambutan Tahun Baru Cina di Pasar Baru Sakeh hari ini. -Foto Bernama
Salahuddin (tengah) mengagihkan sampul angpau serta limau mandarin kepada penduduk ketika turun padang melawat kawasan DUN Simpang Jeram sempena sambutan Tahun Baru Cina di Pasar Baru Sakeh hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

MUAR- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan berkolaborasi dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan bekalan barangan keperluan harian mencukupi sepanjang sambutan Tahun Baru Cina.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata kolaborasi ini penting agar rakyat dapat membeli barangan keperluan dengan harga berpatutan terutamanya barangan yang tersenarai dalam 16 jenis barangan yang terlibat dengan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan.

“Kerjasama erat ini untuk pastikan barangan yang ditawarkan kepada pengguna adalah mencukupi dan tidak berlakunya kenaikan harga yang tinggi dan melampau sempena Tahun Baru Cina.

“Apabila barangan mencukupi dan harga berpatutan, pastinya rakyat akan berasa gembira untuk menyambut apa jua perayaan,” katanya kepada pemberita selepas program turun padang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, di sini hari ini.

Terdahulu beliau turut bertemu dan beramah mesra bersama penduduk selain mengedarkan sampul angpau serta buah limau kepada masyarakat kaum Cina di Pasar Baru Sakeh.

Sempena program berkenaan Salahuddin yang juga ADUN Simpang Jeram menyerahkan sumbangan berupa barangan makanan asas termasuk tepung, beras, susu dan gula kepada keluarga miskin dan kurang berkemampuan di kawasan itu. -Bernama

Artikel Berkaitan: