X

Kindly register in order to view this article
!

Kitar semula minyak masak untuk kelestarian alam sekitar

Fuziah (tengah) membentangkan laporan prestasi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan Jun 2018 hingga Disember 2019 di Pejabatnya hari ini.
A
A

KUANTAN - Parlimen Kuantan akan melaksanakan Projek Kuantan Rahmah 2020 - 3R bagi kelestarian alam sekitar dengan memberi fokus kepada projek kitar semula minyak masak terpakai bermula awal Februari ini.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, projek itu akan dilaksanakan di 39 sekolah menengah dan rendah di dalam kawasan Parlimen Kuantan sebagai permulaan dengan peruntukan RM152,100.

Menurutnya, inisiatif ini sudah dilaksanakan di Putrajaya dan Kuala Lumpur namun pihaknya terpanggil untuk mendidik warga Kuantan ke arah mengitar semula minyak masak yang telah digunakan.

"Kita sudah mengenalpasti vendor yang akan memungut minyak masak terpakai ini dengan nilai tawaran sebanyak RM1.30 per liter.

"Namun sebagai galakan, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan akan memberi insentif dua kali ganda harga iaitu RM2.60 per liter terhad kepada 1,000 liter pertama untuk setiap sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berakhirnya pembentangan laporan prestasi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan Jun 2018 hingga Disember 2019 di Pejabatnya hari ini.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, intensif kepada sekolah yang terlibat berkuatkuasa selama tiga bulan dan lepas itu pihak sekolah boleh meneruskan aktiviti pengumpulan itu tanpa adanya intensif dari pusat Khidmat.

Katanya, selain sekolah, dua kumpulan sasar seperti komersial dan bukan komersial turut mengambil bahagian sekali gus mendapat manfaat pulangan daripada projek ini.

"Komersial antaranya terdiri dari hotel, kantin dan restoran manakala bukan komersial melibatkan pelajar, orang miskin, masjid dan rukun tetangga," katanya.

Sehubungan itu,Fuziah berkata, projek 3R ini dilihat menjadi strategi serampang dua mata dalam menjaga kelestarian alam sekitar melalui konsep Reuse, Reduce, Recycle sambil menjaga kebajikan masyarakat melalui konsep pemberian insentif tersebut.

"Kebiasaannya kempen 3R memberi fokus kepada plastik, kertas dan beberapa elemen lain tetapi kami membawa kelainan dengan meletakkan fokus utama kepada minyak masak terpakai.

"Selain projek 3R ini, terdapat dua lagi program di bawah Projek Kuantan Rahmah iaitu projek Orang Diselia (ODS) dan Projek Rumah Rahmah untuk menanam rasa cinta terhadap kelestarian alam dan memupuk konsep 'rahmah' dalam kalangan penduduk Kuantan.

"Melalui inisiatif ini, kita yakin dapat meletakkan visi memartabatkan Kuantan Rahmah sebagai 'role model' kepada seluruh negeri Pahang dan seterusnya kepada Negara Rahmah selari dengan gagasan Rahmatan Lil Alamin yang menjadi dasar kerajaan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus