Ahmad Maslan, Shahrir mengaku tak bersalah

Ahmad Maslan (kiri), Shahrir (kanan) tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pagi tadi. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Ahmad Maslan (kiri), Shahrir (kanan) tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pagi tadi. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - DIKEMASKINI] Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 berkaitan dana yang dikatakan diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjumlah RM3 juta.

Kedua-dua pemimpin UMNO Johor itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di dua kamar mahkamah berasingan di hadapan Hakim, Azman Ahmad dan Hakim, Azura Alwi.

Ahmad, 54, berdepan dua pertuduhan iaitu yang pertama, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Taksiran 2013 berjumlah RM 2 juta.

Ahli Parlimen Pontian itu didakwa melakukan kesalahan di Lembaga Hasil Dalam Negeri cawangan Duta di sini, pada 30 April 2014.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Maslan, Shahrir hadir ke mahkamah

Beliau yang dituduh melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram disiasat di bawah seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) Akta yang sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM 5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa memberi keterangan palsu ketika rakaman percakapan oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Bilik Sidang Media, Bangunan Parlimen di sini pada 4 Julai 2019, antara jam 2.45 dan 3.30 petang.

Ahmad didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 32(8)(C) AMLATFPUAA yang boleh dihukum di bawah seksyen 32(8) Akta yang sama, yang memperuntukkan denda tidak lebih RM 3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Norzilati Izhani Zainal @ Zainol mencadangkan jaminan sebanyak RM1 juta diberikan kepada Ahmad dengan syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun peguam, Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad memohon jaminan dikurangkan kerana pemimpin tersebut masih bertugas sebagai ahli politik.

Hakim Azman kemudian menetapkan jaminan RM 500,000 dengan seorang penjamin serta syarat pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 21 Februari ini untuk sebutan dan serahan dokumen.

Sementara itu di mahkamah berasingan, Shahrir didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013.

Shahrir, 70, didakwa tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui cek.

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu didakwa melakukan kesalahan di Lembaga Hasil Dalam Negeri, cawangan Duta, di sini, pada 25 April 2014.

Pendakwaan terhadapnya adalah di bawah Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM 5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau keduanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Norzilati Izhani Zainal @ Zainol mencadangkan jaminan sebanyak RM500,000 dengan syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun peguam, Syahrul Syazwan Salehin yang mewakili Shahrir memohon jaminan pada kadar munasabah dengan mengambil kira faktor jasa yang diberikan oleh Shahrir kepada negara sepanjang bertugas sebagai pemimpin sebelum ini.

Hakim Azura menetapkan jaminan sebanyak RM350,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga tamat perbicaraan terhadap Shahrir.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan kes pada 24 Februari ini untuk serahan dokumen.

Terdahulu, bekas Timbalan Perdana Menteri yang kini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharum dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar turut hadir ke mahkamah bagi memberi sokongan terhadap kedua-duanya sebelum proses pendakwaan berlangsung.