[VIDEO] Anwar mahu kemiskinan tegar di Sabah dinoktahkan sebelum akhir Julai

A
A
A

PENAMPANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kemiskinan tegar di Sabah, dinoktahkan sebelum akhir Julai tahun ini.

Beliau yang memberi keutamaan kepada usaha menoktahkan kemiskinan khususnya di Sabah, yakin sasaran tersebut mampu dicapai berikutan bilangan ketua isi rumah dalam kategori miskin tegar di negeri itu menurun daripada 20,000 kepada 9,000, setakat ini.

Isu kemiskinan tegar di Sabah menurut Anwar, adalah lebih serius berbanding negeri lain seperti Pulau Pinang dan Selangor, justeru kerjasama bersepadu antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu diterus diperkukuh ke arah menyelesaikan masalah tersebut.

"Kemiskinan tegar ini maknanya uniform sekolah tidak mampu dibeli, makan minum atau susu untuk bayi mungkin ada masalah (untuk membeli), sebab itu tanggungjawab kerajaan Persekutuan bersama negeri untuk menoktahkan kemiskinan tegar.

"Kita mahu menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah sebelum akhir Julai 2024. Ini keutamaan kita, kita boleh bincang pelbagai hal tetapi kalau anak-anak kita, keluarga kita tidak cukup makan, itu tanggungjawab yang kita (perlu) selesaikan,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini pada Jumaat.

Anwar. Foto Bernama
Anwar. Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzli; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dan Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Perdana Menteri tiba di Kota Kinabalu lewat malam tadi.

Hari ini merupakan hari penutup bagi Pesta Kaamatan dengan sambutan telah bermula dengan majlis pembukaan di Ranau pada 1 Mei, pesta menuai yang kini berevolusi menjadi pesta perpaduan disambut masyarakat berbilang latar belakang di Sabah, juga seluruh negara.

Anwar kemudiannya dijadual menunaikan Solat Jumaat di Masjid Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kapayan di sini sebelum bertolak ke Labuan.

Di Labuan, Anwar dijadual menghadiri Sesi Santai Komuniti di Jeti Terminal RORO Feri Kenderaan bagi menyantuni penduduk di kawasan itu dan mengakhiri lawatannya dengan menghadiri Sesi Taklimat Smart Labuan City di Wisma Perbadanan Labuan.

AKAN MENYUSUL

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!