Tiga lagi kakitangan Kastam didakwa rasuah kes lori lolos pemeriksaan

Mazuki (kanan) dan Mohd Nasrizal (kiri) hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Khamis, bagi menghadapi pertuduhan kes rasuah, berhubung kes melepaskan lori barangan tanpa sebarang pemeriksaan.
Mazuki (kanan) dan Mohd Nasrizal (kiri) hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Khamis, bagi menghadapi pertuduhan kes rasuah, berhubung kes melepaskan lori barangan tanpa sebarang pemeriksaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai tiga kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) termasuk seorang pegawai, yang ditahan dalam Ops Samba 2.0, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM8,600 berhubung kes melepaskan lori barangan tanpa sebarang pemeriksaan, bermula tujuh tahun lalu.

Dua Pembantu Penguasa Kastam, Mohd Nasrizal Othman, 37 dan Ahmad Samirrudin Muhammad Japri, 38, serta Pengawai Kastam Kanan, Mazuki A Kadir, 54, membuat pengakuan berkenaan selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Ahmad Samirrudin hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Khamis, bagi menghadapi pertuduhan kes rasuah, berhubung kes melepaskan lori barangan tanpa sebarang pemeriksaan.
Ahmad Samirrudin hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Khamis, bagi menghadapi pertuduhan kes rasuah, berhubung kes melepaskan lori barangan tanpa sebarang pemeriksaan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nasrizal yang didakwa atas lima pertuduhan rasuah berjumlah RM1,150 manakala Ahmad Samirrudin (sembilan pertuduhan RM4,550) serta Mazuki (10 pertuduhan RM2,000).

Mereka yang bertugas di JKDM KLIA, didakwa memperoleh untuk diri sendiri, suapan mengikut jumlah berkenaan, daripada seorang pemilik syarikat berusia 38 tahun.

Ia menerusi pemindahan dalam talian daripada akaun Maybank milik syarikat berkenaan ke akaun Maybank Islamic milik tertuduh.

Perbuatan didakwa dilakukan sebagai dorongan supaya mereka tidak memeriksa lori-lori milik syarikat tersebut, dari Kargo KLIA.

Kesalahan didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, cawangan KLIA, KLIA2 dan Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, pada 25 Januari 2017 hingga 4 April 2023.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd 'Afif Ali dan Maziah Mohaide.

Dua tertuduh, Mohd Nasrizal dan Mazuki diwakili peguam, Muhamad Aizat Fakri sementara Ahmad Samirrudin oleh peguam, Adhwa' Afiqah Mohd Azmi.

Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Nasrizal diikat jamin sebanyak RM8,000 manakala dua lagi tertuduh, masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh mematuhi syarat tambahan, iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri ke pejabat SPRM, Putrajaya sekali setiap bulan, tidak boleh menggangu saksi pendakwaan dan tidak boleh mengakses maklumat kes ini menerusi data JKDM.

Sebutan kes seterusnya bagi Mohd Nasrizal dan Mazuki ditetapkan pada 25 Julai sementara bagi Ahmad Samirrudin, 11 Julai.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!