PM lancar Kitab Fiqh Zakat karya Yusuf Al-Qaradawi dalam bahasa Melayu

Anwar (tiga dari kiri) melancarkan terjemahan Kitab Fiqh Zakat karya Yusuf Al-Qaradawi dalam bahasa Melayu di Kompleks Seri Perdana pada Rabu.
Anwar (tiga dari kiri) melancarkan terjemahan Kitab Fiqh Zakat karya Yusuf Al-Qaradawi dalam bahasa Melayu di Kompleks Seri Perdana pada Rabu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan terjemahan Kitab Fiqh Zakat karya Almarhum Dr Syeikh Yusuf Al-Qaradawi dalam bahasa Melayu di Kompleks Seri Perdana di sini pada Rabu.

Terjemahan naskhah terulung oleh Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu adalah terjemahan pertama dalam bahasa Melayu dihasilkan.

PPZ-MAIWP dalam kenyataannya memaklumkan, sebelum ini PPZ-MAIWP mengadakan pertemuan dengan Allahyarham Dr Syeikh Yusuf Al-Qaradawi di Qatar pada 2019.

"Pertemuan itu diadakan bertujuan mendapat persetujuan rasmi dari Maktab Al-Qaradawi untuk menerbitkan terjemahan Kitab Fiqh Zakat ke dalam bahasa Melayu.

"Meskipun adikarya ini terlebih dahulu telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia diketuai oleh Profesor Dr KH Didin Hafidhuddin dan sekumpulan penterjemah, namun kesan peredaran zaman terutamanya perbezaan penggunaan istilah, maka wujud keperluan mendesak agar kitab ini diterjemahkan ke bahasa Melayu," kata kenyataan itu pada Khamis.

Anwar (kiri) menandatangani plak perasmian pelancaran terjemahan Kitab Fiqh Zakat karya Yusuf Al-Qaradawi dalam bahasa Melayu di Kompleks Seri Perdana pada Rabu.
Anwar (kiri) menandatangani plak perasmian pelancaran terjemahan Kitab Fiqh Zakat karya Yusuf Al-Qaradawi dalam bahasa Melayu di Kompleks Seri Perdana pada Rabu.

Menurut PPZ-MAIWP, secara umum, kitab itu membincangkan secara komprehensif dan khusus mengenai isu-isu berkaitan zakat sama ada dari aspek teori mahu pun persoalan kontemporari.

Jelas PPZ-MAIWP, kitab itu juga merupakan rujukan utama dalam aspek hukum dan pengoperasian zakat.

Artikel Berkaitan:

"Pengisiannya menjadi rujukan untuk penambahbaikan dan kemajuan bagi institusi-institusi zakat di Malaysia.

"PPZ-MAIWP mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak yang turut terlibat dalam penerbitan terjemahan ini antaranya Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Mufti Negeri Johor, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Negeri Johor," tambahnya.

Majlis yang disempurnakan Anwar itu disaksikan bersama oleh Pengerusi Persatuan Ulamak Sedunia, Syeikh Dr Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!