Anwar lancar kitab fiqh terjemahan bahasa Melayu

Anwar pada Rabu melancarkan terjemahan Kitab Fiqh Zakat karya Almarhum Dr Syeikh Yusuf Al-Qaradawi dalam bahasa Melayu di Kompleks Seri Perdana pada Rabu. Foto FB Anwar Ibrahim
Anwar pada Rabu melancarkan terjemahan Kitab Fiqh Zakat karya Almarhum Dr Syeikh Yusuf Al-Qaradawi dalam bahasa Melayu di Kompleks Seri Perdana pada Rabu. Foto FB Anwar Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu melancarkan terjemahan Kitab Fiqh Zakat karya Almarhum Dr Syeikh Yusuf Al-Qaradawi dalam bahasa Melayu di Kompleks Seri Perdana di sini.

Terjemahan oleh Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu adalah terjemahan pertama dalam bahasa Melayu.

Anwar dalam ucapannya berkata, terjemahan kitab berkenaan penting dan mempunyai kupasan menyeluruh meliputi pelbagai aspek.

"Itu kupasan menyeluruh dari aspek fiqh perundangan, latar belakangnya, tumpuan kepada permasalahan kemiskinan dan pengurusan lebih cekap. Oleh itu dalam soal zakat, kupasan itu sangat menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, PPZ-MAIWP dalam kenyataan sempena pelancaran itu memaklumkan kitab berkenaan membincangkan secara komprehensif dan khusus mengenai isu-isu berkaitan zakat sama ada dari aspek teori mahupun persoalan kontemporari.

Kitab Fiqh Zakat karya Agung Almarhum Dr Syeikh Yusuf Al-Qaradawi merupakan rujukan utama dalam aspek hukum dan pengoperasian zakat.

Pengisiannya menjadi rujukan untuk penambahbaikan dan kemajuan bagi institusi zakat di Malaysia, menurut PPM-MAIWP.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, umat Islam perlu menimba ilmu dengan kebijaksanaan dan kefahaman tinggi supaya kupasan ilmu tidak disalah tafsir.

Beliau turut menggesa pengimarahan masjid serta aktiviti tradisi ilmu dipertingkatkan di semua peringkat.

Artikel Berkaitan:

"Ini cara Kerajaan MADANI untuk memaknai dan hayati agama Islam supaya ada kefahaman lebih,” katanya.

Sementara itu, beliau sekali lagi menegaskan pendirian Malaysia berhubung konflik Palestin-Israel dengan negara kekal menolak kezaliman yang berlaku ketika ini.

"Ada keperluan ulangi ketegasan nasib dan derita keluarga dan sahabat di Gaza dan serangan bertubi tubi dan hilang tahap kemanusian,” katanya.

Jumlah rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lepas meningkat kepada 36,171 orang. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!