Wabak virus korona dikesan di Korea Selatan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SEOUL - Kes pertama virus korona dilaporkan dikesan di Korea Selatan di tengah-tengah kebimbangan wabak penyakit itu merebak ke China dan Asia, lapor agensi berita Yonhap.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (KCDC) Korea Selatan, seorang wanita warga China mengalami demam, masalah pernafasan dan gejala-gejala lain selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dan diuji positif dijangkiti virus itu.

Wanita berusia 35 tahun itu tiba dari pusat bandar Wuhan di wilayah Hubei di mana virus itu mula dikesan pada Ahad lalu sebelum berlepas ke Jepun sempena cuti Tahun Baru Cina minggu ini.

Pesakit berkenaan telah dikuarantin di sebuah hospital tempatan untuk dirawat, kata KCDC.

Agensi itu berkata, pihaknya menaikkan tahap amaran dan mengarahkan kerajaan tempatan untuk mengukuhkan pemantauan.

Kerajaan Beijing melaporkan hampir 200 pesakit telah dijangkiti, dengan tiga kematian. Kes baharu pesakit mengalami gejala seperti penyakit radang paru-paru turut dilaporkan di Jepun dan Thailand.

Beijing berkata, virus korona baharu itu tidak berjangkit sesama manusia, tetapi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak menolak kemungkinan ia boleh dijangkiti antara manusia kepada manusia dalam keadaan tertentu. - Bernama

Artikel Berkaitan: