Parallel Pathway: Kertas cadangan penyelesaian dibentang Rabu ini

Zambry Abd Kadir - Foto Bernama
Zambry Abd Kadir - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kertas cadangan berhubung penyelesaian isu Program Latihan Ijazah Kepakaran atau Parallel Pathway telah disediakan dan akan dibentangkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kepada Kabinet pada 5 Jun ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau telah diminta untuk menjelaskan kepada Kabinet mengenai isu tersebut sementara ketiadaan Menteri Kesihatan itu berikutan berada di Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-77 (WHA77) di Geneva, Switzerland.

Menurutnya, perkara pokok yang timbul berkaitan dengan kemelut tersebut adalah mengenai isu pengiktirafan latihan kepakaran Parallel Pathway yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Selain itu, ia juga berkaitan dengan isu pendaftaran pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran dalam Daftar Pakar (NSR) di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

“Kedua-dua isu ini telah dibawa dalam mesyuarat bersama KKM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada April lalu bagi mencari penyelesaian.

“Ia sebagaimana yang diumumkan Menteri Kesihatan bahawa Akta Perubatan 1971 (Akta 50) akan dipinda bagi membolehkan beberapa masalah berbangkit dapat diselesaikan termasuklah mendaftarkan pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran Parallel Pathway,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Dzulkefly berkata, cadangan pindaan Akta Perubatan 1971 bertujuan menangani jurang antara Parallel Pathway dan Program Sarjana Perubatan tempatan.

Ujarnya, KKM sedang berada pada peringkat akhir pindaan dan berharap usaha terbabit akan membantu kerajaan dalam memperkasa serta mengawal selia kedua-dua program berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Zambry berkata, isu pengiktirafan pelajar kardiotorasik dan tuduhan membuka Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada bukan bumiputera merupakan dua perkara yang berbeza.

“Terdapat kumpulan yang cuba mengambil kesempatan sehingga menuduh UiTM bersikap aparteid sedangkan isu utamanya tiada pengesahan dan pengiktirafan daripada MMC kepada kumpulan pelajar ini.

“Selain daripada UiTM yang sedang menjalankan Program Sarjana Sains Surgeri (Kardiotorasik), universiti lain termasuk Universiti Malaya (UM) sedang dalam proses mendapatkan perakuan akreditasi untuk kursus ini sebelum ditawarkan dalam masa terdekat.

“Dengan usaha yang sedang dilakukan ini, diharapkan natijah penyelesaian menyeluruh akan terhasil demi kepentingan negara dan rakyat,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!