Syed Saddiq nafi hadir parti dadah

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan dakwaan beberapa portal berita yang melaporkan beliau kononnya menghadiri 'parti dadah' di sebuah kondominium di Jalan Puchong, Kuala Lumpur yang diserbu polis baru-baru ini.

Menurutnya, beliau hanya mengetahui penularan berita tidak benar membabitkan dirinya itu pada hari ini.

Katanya, berita yang tular bertajuk 'Syed Saddiq Sebenarnya Ada Di Parti Dadah Tapi...' disiarkan oleh portal Johor Press pada 17 Januari 2020.

"Antara kandungan artikel tersebut adalah seperti “Menurut satu maklumat yang diterima melalui aplikasi WhatsApp, sebenarnya pada hari kejadian Syed Saddiq turut berada di lokasi yang sama mereka ditahan polis” dan “Nasib menyebelahi Syed Saddiq apabila dikatakan dia sudah pulang lebih awal sebelum serbuan dibuat oleh pihak polis”.

"Maklumat tidak benar ini juga ditularkan oleh pihak ketiga seperti Mynewshub. Saya ingin tegaskan kandungan artikel yang diterbitkan oleh Johor Press adalah tidak benar sama sekali dan memburukkan nama baik saya sebagai Menteri Belia dan Sukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, polis menahan 17 individu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah dan empat pegawai khas ahli politik dalam satu operasi di sebuah kondominium di Jalan Puchong.

Hasil siasatan lanjut, polis turut menemui serbuk dipercayai dadah dan rokok dipercayai berisi ganja dan saringan awal ujian air kencing mendapati 16 daripada mereka positif dadah.

ARTIKEL BERKAITAN: 16 individu positif dadah dalam serbuan di Puchong

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) berkata, terdapat juga dakwaan mengatakan ada cubaan melobi projek-projek besar di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Katanya, dakwaan itu adalah salah dan menjejaskan imej baik kementerian.

Beliau berkata, sejak menerajui KBS, pencapaian kementerian itu di dalam Public Service Corruption Ranking (PSCR) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semakin cemerlang.

"KBS berjaya memperbaiki tangga PSCR daripada lapan kementerian paling berisiko rasuah kepada tangga 16 paling kurang risiko rasuah dan salah laku," katanya.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional itu berkata, beliau akan membuat laporan polis dan merujuk kepada tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang menyebarkan berita tidak benar terutamanya berkaitan integriti KBS.