Orang ramai perlu berwaspada, individu menyamar pegawai SKMM

Sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai urusan berkaitan dengan SKMM lazimnya dilaksanakan mengikut saluran rasmi seperti e-mel, laman sesawang ataupun menerusi platform media sosial.
Sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai urusan berkaitan dengan SKMM lazimnya dilaksanakan mengikut saluran rasmi seperti e-mel, laman sesawang ataupun menerusi platform media sosial.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta orang ramai untuk berwaspada dengan panggilan individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai institusi tersebut.

SKMM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak menggunakan nama individu, nombor telefon bimbit persendirian mahupun penggunaan bahasa yang meragukan,

Menurutnya, sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai urusan berkaitan dengan SKMM lazimnya dilaksanakan mengikut saluran rasmi seperti e-mel, laman sesawang ataupun menerusi platform media sosial.

"Tambahan pula, pihak berkuasa termasuk SKMM tidak akan meminta butiran dan maklumat peribadi individu.

"Saranan ini dibuat susulan peningkatan kes yang diterima oleh SKMM sejak tempoh seminggu lalu," katanya pada Selasa.

Tambah kenyataan itu, modus operandi panggilan yang diterima bermatlamat memperdaya mangsa bagi tujuan tertentu.

"Pemanggil memperkenalkan dirinya sebagai pegawai SKMM dan memaklumkan bahawa nombor telefon mangsa telah terbabit dalam kegiatan jenayah.

"Namun, sekiranya mangsa gagal mengikut arahan yang diberikan, talian tersebut akan disekat atau disenarai hitam," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, SKMM menyarankan agar orang ramai membuat tetapan sekatan ke atas nombor telefon pemanggil atau mendapatkan perisian atau aplikasi bagi menyekat kemasukan panggilan atau SMS ke talian telefon yang dimiliki.

"Sekiranya menerima panggilan-panggilan mencurigakan, segera laporkan perkara tersebut kepada pihak polis atau Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997 yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam untuk tindakan selanjutnya.

"Orang ramai juga boleh melayari portal Sebenarnya.my untuk mendapatkan pengesahan mengenai sesuatu berita yang tidak ditentusahihkan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!