Malaysia mudahkan kerjasama perdagangan kewangan Islam antara negara OIC - Anwar

Anwar menyampaikan ucaptama semasa Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucaptama semasa Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia merancang untuk melaksanakan kemudahan hubungan kerajaan kepada kerajaan (G2G) bagi memanfaatkan pembiayaan perdagangan Islam dalam kerjasama ekonomi antara negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif ini akan membantu merangsang pertumbuhan ekonomi Islam.

"Memandangkan saiz global kewangan perdagangan Islam hari ini hanya kurang daripada 5 peratus daripada anggaran jumlah aktiviti pembiayaan perdagangan oleh negara anggota OIC, maka saya menyeru pemimpin OIC untuk 'meningkatkan taruhan” dan memudahkan akses rentas sempadan’ bagi meningkatkan inovasi, perdagangan dan pelaburan,” katanya ketika merasmikan Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam di sini pada Selasa.

Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dan Pengerusi Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), Tan Sri Azman Mokhtar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia akan menerajui pembangunan program global untuk pakar ekonomi Islam dengan kerjasama rakan pelaksanaannya.

Perdana Menteri berkata, program itu bertujuan untuk melahirkan ahli ekonomi yang dinamik dan berkemahiran tinggi yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam ekonomi Islam untuk mencipta penyelesaian bagi menangani cabaran global kontemporari.

"Ia adalah program pelbagai bidang yang menawarkan pendidikan eksekutif, penyelidikan gunaan dan latihan amali pekerjaan untuk peserta memperoleh pengalaman profesional,” katanya.

Beliau berkata, pertubuhan Islam antarabangsa dan rakan pembangunan perlu bekerjasama untuk meningkatkan kolaborasi antarabangsa dengan strategi pertumbuhan ekonomi yang bersepadu, holistik dan harmoni.

Artikel Berkaitan:

Ini termasuk menghapuskan halangan struktur, menambah baik infrastruktur, meningkatkan amalan perdagangan dan memastikan tadbir urus yang baik dalam mengurangkan jurang ekonomi.

Bagi Malaysia, Anwar berkata, rangka kerja ekonomi Madani mengetengahkan kaedah baharu pembangunan bertamadun sebagai panduan ke arah mencapai matlamat pengagihan kekayaan secara adil dan saksama.

"Kerajaan akan terus menyokong inisiatif kewangan sosial Islam di Malaysia,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!