Lawatan ke Jepun serlah kepimpinan Anwar untuk galas kepengerusian ASEAN

Anwar menyampaikan ucaptama semasa Persidangan Nikkei ke-29. Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucaptama semasa Persidangan Nikkei ke-29. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi isyarat jelas bahawa Malaysia bersedia untuk mengambil alih kepengerusian ASEAN tahun depan dan menggerakkan kepentingan teras ekonomi rantau ini serta menangani cabaran geopolitik dan keselamatan termasuk pertikaian wilayah di rantau Asia Tenggara.

Komitmen padu ini diserlahkan Perdana Menteri semasa lawatan singkat beliau ke Jepun sempena menghadiri Persidangan Nikkei di Tokyo minggu lepas.

Lawatan penting itu juga menyaksikan Anwar bertemu dengan para pemimpin industri dan syarikat utama Jepun yang mana beliau berjaya meraih potensi pelaburan berjumlah RM1.45 bilion dan potensi eksport bernilai RM500 juta.

Usaha itu sudah pastinya akan mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Pada 2023, perdagangan dua hala bernilai RM156.64 bilion atau AS$34.39 bilion.

Jepun telah menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia selama sembilan tahun berturut-turut, justeru, lawatan Anwar itu sudah pastinya akan mengukuhkan lagi hubungan Kuala Lumpur-Tokyo, terutamanya di tengah-tengah kebimbangan ekonomi global seperti perang perdagangan Amerika Syarikat-China yang akan menjejaskan ekonomi serantau.

Memandangkan perdagangan dengan Negara Matahari Terbit itu dijangka terus meningkat, agenda paling penting Anwar sudah pastinya mengesahkan komitmen Malaysia untuk meningkatkan kerjasama serantau.

Ini boleh dicapai apabila Malaysia mengambil alih kepengerusian ASEAN secara bergilir itu dengan memanfaatkan platform pelbagai hala kumpulan tersebut untuk menangani isu serantau secara aman, termasuk pertikaian wilayah.

Artikel Berkaitan:

Menerusi ucapannya di Persidangan Nikkei, Anwar menegaskan bahawa Asia memiliki kekuatan ekonomi, kapasiti strategik dan jalinan kerjasama yang mungkin diperlukan untuk mendepani cabaran geopolitik dan geoekonomi.

ASEAN mempunyai gabungan keluaran dalam negara kasar berjumlah kira-kira AS$3.7 trilion dengan lebih 670 juta penduduk.

Rantau itu diramalkan menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2030, yang memainkan peranan penting dalam kekayaan ekonomi global dan Asia.

Anwar juga menyifatkan blok yang dianggotai 10 negara Asia Tenggara itu sebagai berjaya, kekal sebagai salah satu pertubuhan serantau yang paling aman dengan hanya sedikit atau tiada konflik antara ahli.

Dalam keadaan itu, sudah tiba masanya bagi kumpulan tersebut memajukan tonggak keselamatan, politik dan ekonominya ke tahap seterusnya.

Malaysia, sebagai pengerusi, terus komited untuk memupuk pertumbuhan bersama, merangsang kerjasama serantau dan mengekalkan keterbukaan kepada perdagangan, pembangunan dan perniagaan.

Usaha ini adalah bertujuan untuk memastikan rantau ini dinamik, stabil dan boleh mengikut kesesuaian.

Anwar juga menegaskan pendirian proaktif Malaysia dalam menjaga kestabilan ekonominya walaupun dalam suasana global yang tidak menentu dan faktor luaran.

Beliau berkata, dengan melaksanakan langkah berjaga-jaga yang jelas, negara berhasrat untuk meningkatkan keyakinan terhadap daya tahan ekonominya.

Pendekatan ini mencadangkan komitmen untuk menangani potensi cabaran dan mengekalkan kedudukan ekonomi yang stabil, walaupun menghadapi gelora luaran.

Pendekatan ini telah terbukti berkesan dan sebahagiannya dicapai daripada pendirian berkecuali Putrajaya.

Anwar turut mengetengahkan industri semikonduktor Malaysia yang mantap dan memacu kedudukan negara sebagai rakan serantau boleh dipercayai dalam aspek pembuatan, perdagangan dan inovasi.

Di sebalik ketegangan yang ketara serta sekatan dagangan cip mikro, beliau berkata elemen seperti barisan tenaga mahir dan ekonomi serta pendirian geopolitik yang berkecuali telah menjadikan Malaysia sebagai pilihan pelabur.

Malah, sewaktu diajukan soalan pada sesi Forum Nikkei, Anwar yang juga Menteri Kewangan, lantang mempertahankan pendirian Malaysia yang enggan menyebelahi mana-mana pihak dalam pertikaian antara Amerika Syarikat dan China dan menegaskan bahawa Putrajaya tidak akan menjadi sebahagian daripada minda ‘Perang Dingin.’

Malaysia terus melibatkan dan menganggap AS sebagai rakan sekutu penting dan pada masa sama mengukuhkan hubungannya dengan China kerana "mereka adalah jiran penting kami - amat penting dan strategik untuk tidak diendahkan,” katanya.

Anwar mengetengahkan pendirian sama dalam sesi bersama kalangan pemimpin kerajaan, perniagaan, penuntut dan media, termasuk membabitkan kepentingan dialog dan kerjasama dalam memastikan keamanan, kestabilan serta kemakmuran.

Jepun juga memberi platform kepada Anwar untuk mengetengahkan pertemuan beliau dengan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh sebelum itu yang ditegaskan oleh Perdana Menteri bahawa ianya bertujuan untuk mengetengahkan penyelesaian secara aman terhadap konflik Gaza.

"Keadaan di Gaza adalah satu krisis kemanusiaan dan pada skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Ketepikan perbezaan dari segi ideologi atau hubungan dua hala dengan negara-negara lain. Namun, bolehkah kita dalam tempoh dan zaman ini menerima dan menutup mata terhadap kekejaman besar-besaran yang luar biasa ini?

"Sebab itulah saya tegaskan bahawa kita perlu cari satu resolusi yang aman, menyokong pendirian yang diambil oleh negara-negara jiran Islam dan komuniti antarabangsa, memaksa kedua-dua pihak menerima keamanan dan penyelesaian dua negara,” kata beliau pada Forum Nikkei itu.

Jepun memberi reaksi dengan menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan Malaysia dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, pada sesi mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatan Anwar, Fumio Kishida.

Ini merupakan kunjungan kedua Anwar ke Jepun dalam tempoh enam bulan, sekali gus menekankan kepentingan hubungan 68 tahun kedua-dua negara itu.

Tidak ketinggalan, Anwar turut berkongsi penghargaannya terhadap peranan penting dan sokongan Jepun terhadap kemajuan ekonomi Malaysia.

"Masih terpahat dalam ingatan bagaimana permulaan kecil di Pulau Pinang pada 1970-an apabila syarikat-syarikat seperti Clarion dan Hitachi menjadi sebahagian daripada ‘Lapan Samurai’ - gelombang pertama pelaburan pembuatan produk elektrik dan elektronik (E&E) ke dalam negara,” katanya.

Anwar juga menekankan bahawa negara-negara maju seperti Jepun yang berperanan penting dalam pertumbuhan dan pembangunan ekonomi-ekonomi ASEAN yang meraih manfaat daripada pelaburan dan perdagangan Jepun.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkongsi hasrat untuk melanjutkan kerjasama sedemikian yang melangkaui perdagangan, terutama tumpuan terhadap pendidikan, penyelidikan, pertukaran teknologi dan budaya.

Mengutarakan visi bersama demi masa depan Asia yang bersandarkan kestabilan, kesalinghubungan dan kerjasama dalam menyokong aturan berteraskan peraturan, Anwar juga menegaskan keyakinan bahawa hubungan Malaysia-Jepun akan terus tersemat kukuh pada masa akan datang. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!