12 klien AADK lulus SPM

Tangkap layar kenyataan AADK pada Isnin.
Tangkap layar kenyataan AADK pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 12 daripada 14 klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan pada Isnin.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Shobah Jamil berkata, seramai 11 orang merupakan klien dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Papar, Sabah manakala seorang lagi calon dari PUSPEN Seri Iskandar, Perak.

Menurutnya, mereka merupakan klien yang sedang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) di kedua-dua PUSPEN berkenaan.

“RPDI menawarkan modul khas iaitu Program Akses Pendidikan Klien (PAPK) khusus kepada mereka di bawah umur 18 tahun sebagai peluang kebajikan pendidikan.

“Menerusi PAPK ini, semua klien yang layak akan mengikuti jadual kelas sistematik dan diajar oleh guru yang dilantik menerusi Skim Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP).

“Guru ini mempunyai ijazah sarjana muda dan pengalaman dalam bidang pendidikan serta bantuan tenaga pengajar daripada Pejabat Pendidikan Daerah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sinar Harian melaporkan, seramai 395,870 calon yang telah mendaftar bagi menduduki peperiksaan SPM 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara menerima keputusan pencapaian mereka bermula jam 10 pagi Isnin.

Keputusan itu diperoleh melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan secara dalam talian manakala bagi mereka yang tiada akses capaian pula hadir ke sekolah bagi mendapatkan keputusan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Shobah yang juga pemangku Ketua Pengarah AADK berkata, PAPK mula diperkenalkan pada 2015 bagi membantu klien yang berdepan dengan keciciran pelajaran ketika menjalani program RPDI di PUSPEN.

“Ia untuk memberi peluang kepada klien memajukan diri dalam aspek akademik, malah sijil yang diperoleh ini juga boleh digunakan mereka bagi meneruskan kehidupan serta mengekalkan kepulihan sepanjang hayat.

“Berdasarkan pengalaman kami, ada diantara mereka yang berdepan masalah seperti tidak pandai membaca, mengira dan menulis ketika awal kemasukan ke PUSPEN tetapi berjaya peroleh kemahiran tersebut sehingga lulus dalam SPM selepas mengikuti PAPK.

“Sebanyak enam mata pelajaran diambil klien iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral,” ujarnya.

Tambah Shobah, mereka yang lulus SPM 2023 berpeluang melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi seperti di Institut Kemahiran Mara (IKM), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), GiatMara Malaysia dan politeknik.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!