Keputusan SPM 2023 diumumkan hari ini

Seramai 395,870 calon yang telah menduduki peperiksaan SPM 2023 akan menerima keputusan mereka hari ini. Gambar hiasan
Seramai 395,870 calon yang telah menduduki peperiksaan SPM 2023 akan menerima keputusan mereka hari ini. Gambar hiasan
A
A
A

HARI ini seramai 395,870 calon yang telah mendaftar bagi menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara akan menerima keputusan pencapaian mereka.

Keputusan boleh diperoleh bermula jam 10 pagi melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan secara dalam talian.

Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi platform media sosial X memaklumkan, semakan melalui SMS boleh dibuat dengan menaip SPM NoKP AngkaGiliran dan hantar ke 15888.

Sementara itu, mereka yang tiada akses capaian boleh hadir sendiri ke sekolah bagi mendapatkan keputusan.

Ia menjadi penentu hala tuju pelapis harapan negara merancang masa depan ke fasa kehidupan seterusnya.

Dalam perkembangan lain, isu penyelarasan subsidi diesel terus menjadi perhatian susulan mekanisme perlaksanaannya masih belum diperincikan kerajaan.

Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memberi jaminan bahawa mekanisme dan tarikh pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api diesel akan dimaklumkan pada masa terdekat.

Beliau berkata, perkara itu akan dijelaskan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan kerana beliau sudah pun memberikan gambaran mengenainya dan kini hanya perlu tindakan susulan.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menyatakan rasa tidak puas beliau mengenai perkara tersebut.

Katanya, kerajaan sepatutnya memberi penjelasan terperinci sejak awal mengenai langkah-langkah yang akan diambil untuk menampan kesan penarikan balik subsidi ke atas kenaikan kos sara hidup rakyat.

Tegas beliau, kebimbangan ramai mengenai impak buruk daripada penyelarasan subsidi diesel itu berasas dan kerana itu kerajaan perlu menjelaskan mengenai pakej bantuan untuk rakyat hasil penjimatan subsidi yang dijangka berjumlah sekitar RM4 bilion setahun.

Berhubung siasatan kes kejadian simbah asid pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bahawa hasil semakan tiga daripada lapan kesan cap jari di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang rekod ditemui di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Justeru, pihaknya sudah mendapatkan bantuan JPN bagi membuat semakan terhadap cari jari yang dianalisis pihak forensik.

Sementara itu, perkembangan politik negara menyaksikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) melaksanakan rombakan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) di tujuh negeri melibatkan Sarawak, Sabah, Pahang, Johor, Terengganu, Kelantan dan Wilayah Persekutuan.

Penyusunan semula itu dibuat selepas enam negeri lain menerima kepimpinan baharu pada Februari lalu.

Pengumuman dibuat hasil hasil mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu pada Ahad.

Turut diumumkan pelantikan bekas Pengerusi MPN Sabah, Datuk Sangkar Rasam, Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu, Azan Ismail dan Datuk Dr Roslan Hussin (Pengarah Latihan) sebagai ahli MPP.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!