11,713 calon SPM 2023 peroleh semua A

Gambar hiasan. Foto Bernama
Gambar hiasan. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seramai 11,713 daripada 373,525 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 memperoleh keputusan cemerlang gred A, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, secara keseluruhannya pencapaian calon SPM tahun lalu lebih baik apabila merekodkan Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 4.60 berbanding 4.74 pada tahun sebelumnya.

Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.

"Sebanyak 226,358 calon atau 60.6 peratus daripada 373,525 calon baharu telah lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran yang diduduki.

"Di samping itu, sebanyak 66 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, 25 (mata pelajaran) menurun dan empat menunjukkan prestasi kekal," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan peperiksaan SPM 2023 pada Isnin.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, seramai 83,112 calon (22.3 peratus) mendapat sekurang-kurangnya gred C bagi semua mata pelajaran manakala 131,489 calon (35.2 peratus) mendapat sekurang-kurangnya gred E.

Katanya, prestasi kesemua mata pelajaran teras dalam peperiksaan SPM 2023 iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains menunjukkan peningkatan.

"Pendidikan Moral menuniukkan peningkatan prestasi tertinggi iaitu 0.2 manakala Bahasa Melayu pula terbaik dengan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 3.66 mata.

Artikel Berkaitan:

"Bagi mata pelajaran elektif, 50 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi, 19 menurun dan satu mata pelajaran mengekalkan prestasi seperti 2022.

"Kesemua empat mata pelajaran elektif STEM (Sains Tulen dan Matematik Tambahan) menunjukkan peningkatan dengan Fizik merekodkan prestasi tertinggi iaitu 0.22 mata dan terbaik dalam kumpulan dengan GPMP 4.15 mata," jelasnya.

Peperiksaan SPM 2023 telah berlangsung pada 5 Disember 2023 hingga 7 Mac lalu, dengan 129,635 petugas telah dilantik untuk memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan itu berjalan lancar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!