Pas beri peluang akar umbi cadang calon PRK Sungai Bakap

Muhammad Fauzi Yusoff
Muhammad Fauzi Yusoff
A
A
A

GEORGE TOWN - Pas Pulau Pinang akan buka peluang kepada akar umbi untuk memberi cadangan calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap kelak.

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, pihaknya sudah berbincang secara tidak rasmi bersama Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berhubung isu PRK ketika beliau hadir ke pengkebumian jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff pada Jumaat lalu.

"Kita akan bagi peluang kepada akar umbi untuk bagi cadangan tentang calon-calon daripada cawangan dan tentunya dari kawasan tempatan.

"Calon anak tempatan akan diletakkan di kerusi DUN berkenaan. Pada pilihan raya negeri (PRN) lalu, kawasan itu ditandingi Pas.

"Calon semestinya rakyat Pulau Pinang kerana syarat asasnya perlu rakyat negeri ini, tetapi belum dimuktamadkan lagi oleh pimpinan tertinggi," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, di sini pada Isnin.

Menurutnya, isu calon bukan dibincangkan dalam parti semata-mata sebaliknya perlu berbincang dengan pimpinan semua parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

"Saya sudah berbincang dengan Idris tentang tindakan segera yang akan diambil pada minggu ini juga. Kita akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat.

"Kita akan panggil semua jentera turun untuk mengunjungi masyarakat di DUN Sungai Bakap," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sebarang keputusan termasuk pemilihan calon perlu dibuat secara bersama sebelum diputuskan oleh pimpinan tertinggi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!