Kerajaan Perpaduan belum mesyuarat pilih calon DUN Sungai Bakap

Fahmi. Foto Bernama
Fahmi. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan setakat ini belum mengadakan mesyuarat berhubung pemilihan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, kata Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi bagaimanapun menzahirkan keyakinan bahawa proses pemilihan calon bagi PRK itu akan dilakukan menerusi mekanisme dalaman Kerajaan Perpaduan

"Mengambil sikap dan pendirian kerjasama yang baik antara parti komponen Kerajaan Perpaduan ketika PRK DUN Kuala Kubu Bharu, saya percaya proses sama akan dituruti untuk PRK DUN Sungai Bakap.

"Insya-ALLAH saya melihat ini tidak akan menjadi isu dan akan diuruskan melalui mekanisme dalaman Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang media di sini hari ini ketika ditanya perkembangan mengenai proses pemilihan calon PRK DUN Sungai Bakap.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas kerana mengalami keradangan dalam perut.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Jun ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting pelaksanaan PRK berkenaan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!