KWSP terima 2.86 juta permohonan pindahan Akaun Fleksibel

Gambar hiasan. Foto Bernama
Gambar hiasan. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerima 2.86 juta permohonan pindahan amaun permulaan dari Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel melibatkan jumlah sebanyak RM8.78 bilion setakat 22 Mei tahun ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Sazaliza Zainuddin berkata, selepas pilihan tersebut dibuka pada 12 Mei lalu, sebanyak 3.04 juta permohonan untuk pengeluaran Akaun Fleksibel telah diluluskan berjumlah RM5.52 bilion.

“KWSP menjangkakan jumlah permohonan untuk pemindahan amaun permulaan daripada Akaun Sejahtera mereka kepada Akaun Fleksibel akan terus meningkat sehingga tarikh tutup pada 31 Ogos 2024.

“Kami juga gembira melihat peningkatan ketara permohonan melalui aplikasi mudah alih KWSP i-Akaun.

“Ini mencerminkan usaha kami untuk meningkatkan pengalaman dan kebolehcapaian pengguna, di samping kami terus berinovasi dan mengembangkan penawaran digital kami,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, KWSP memperkenalkan Akaun Fleksibel yang membolehkan ahli mereka mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan.

Dalam pada itu, ujar Sazaliza, ahli-ahli dinasihatkan supaya tidak tergesa-gesa membuat pemindahan ke Akaun Fleksibel memandangkan tarikh tutup bagi urusan tersebut ialah pada 31 Ogos tahun ini.

“Ahli yang masih belum mendaftar dengan KWSP i-Akaun digalakkan berbuat demikian bagi membolehkan transaksi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel.

Artikel Berkaitan:

“Ahli dinasihatkan untuk mendaftar atau mengemas kini nombor telefon bimbit mereka melalui Terminal Layan Diri (SST) yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP bagi tujuan menerima Kod Kebenaran Urus Niaga (TAC) bagi mengesahkan identiti mereka semasa menjalankan transaksi.

“Pengeluaran dari Akaun Fleksibel boleh dibuat pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan, dengan pengeluaran minimum RM50,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!