Pulau Pinang laksana pelbagai usaha kekal kompetitif dalam sektor semikonduktor

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang telah melaksanakan beberapa usaha dalam memastikan Pulau Pinang kekal kompetitif dalam pembangunan sektor semikonduktor di peringkat antarabangsa.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berusaha menjadikan Pulau Pinang sebagai salah satu hub global dalam bidang industri berteknologi tinggi.

Menurutnya, selain daripada terus mengembangkan aktiviti elektrik dan elektronik (E&E) dan semikonduktor yang sedia ada, kerajaan negeri juga memfokuskan dalam membangunkan rantaian bekalan bagi peralatan pembuatan bahagian hadapan dan menggalakkan aktiviti penyelidikan, pembangunan serta rekabentuk di Pulau Pinang.

"Kerajaan negeri memberi galakan serta membantu lebih banyak syarikat tempatan untuk melibatkan diri dalam rantaian nilai global untuk menggerakkan rantaian nilai serta memantapkan ekosistem sedia ada.

"Selain itu, kerajaan juga memupuk penyelidikan dan pembangunan, penggunaan teknologi dan inovasi terutamanya berkait dengan aspek pendigitalan kerana langkah ini mampu mengubah struktur perindustrian bernilai tinggi, mampan serta memberi manfaat kepada penjanaan pekerjaan mahir dan pendapatan," katanya.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubok) mengenai usaha kerajaan negeri untuk memastikan Pulau Pinang kekal kompetitif dalam pembangunan sektor semikonduktor.

Tambah Kon Yeow, kerajaan negeri juga memastikan Pulau Pinang mencapai sasaran untuk menjadi negeri yang berorientasikan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)

"ESG kini menjadi salah satu daripada faktor penentuan pemilihan tapak pelabur berpotensi terutamanya dalam sektor semikonduktor. Lokasi yang memenuhi piawaian ESG kini mempunyai kelebihan dalam proses pemilihan tapak

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri sentiasa menggalakkan pelabur untuk mengamalkan konsep hijau apabila mereka ingin membina kilang yang baru atau membuat pengubahsuaian bagi kilang yang sedia ada," katanya.

Tambah Kon Yeow, kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang berusaha untuk membangunkan Taman-Taman Perindustrian baharu bertaraf antarabangsa, antaranya Taman Teknologi Bandar Cassia, Taman Perindustrian Batu Kawan IIl dan Penang Science Park Selatan.

"Antara usaha lain adalah memantapkan pelaksanaan Hand Holding Programme dengan memastikan kemudahan menjalankan perniagaan di Pulau Pinang kekal kompetitif berbanding dengan pesaing-pesaing yang lain.

"Kerajaan negeri juga akan menyediakan perancangan strategik untuk menarik bakat baharu dan mengekalkan bakat sedia ada melalui pelbagai inisiatif yang ditawarkan seperti Future Foundation Scholarship, Penang GBS Industry Academy dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri telah mempromosikan Pulau Pinang ke luar negara dengan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pelabur-pelabur yang berpotensi untuk melabur di negeri ini.

Kata beliau lagi, antara negara yang bakal diberi tumpuan dalam misi pelaburan adalah Amerika Syarikat, Taiwan, Singapura dan Eropah.

Dalam pada itu, Khai Loon memohon pencerahan daripada Kerajaan Pulau Pinang berhubung punca dan sebab pelabur rekabentuk litar bersepadu (IC) memilih Selangor berbanding negeri lain.

Menjawab kepada soalan itu, Kon Yeow berkata, antara punca dan sebab para pelabur IC memilih Selangor melalui pengumuman baru-baru ini adalah mungkin kerana insentif yang ditawarkan melalui inisiatif Malaysia Semiconductor Accelerator and IC Design Park (Selangor Hub) yang diterajui Kerajaan Selangor menerusi Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan Selangor dikatakan telah menerima geran sebanyak RM60 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan telah berjaya menarik modal teroka global untuk bekerjasama dengan mereka bagi menawarkan dana khas di bawah inisiatif ini.

"Kerajaan Selangor juga dikatakan telah menyalurkan RM65 juta kepada SIDEC bagi menguruskan Taman Perindustrian IC Design di Selangor.

"Bagaimanapun, Pulau Pinang mash menjadi hab utama bagi pelabur IC memandangkan sebahagian besar pelabur IC berpangkalan di Pulau Pinang, berbanding Selangor yang baharu memulakan inisiatif menarik pelabur dari industri ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!