Pulau Pinang mohon kaji semula sistem pengagihan cukai kepada negeri

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Pulau Pinang memohon Kerajaan Persekutuan mengkaji semula sistem pengagihan cukai kepada negeri dengan mengembalikan 20 peratus daripada wang cukai yang dikutip daripada negeri berkenaan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, ia akan memberi ruang yang besar kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan program dan projek pembangunan dengan lebih berkesan.

"Saya dimaklumkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengutip RM7 hingga RM8 bilion cukai daripada Pulau Pinang. Jika 20 peratus daripadanya, kita (Pulau Pinang) akan ada lebih RM1 bilion setiap tahun,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada Rabu.

Beliau menjawab soalan tambahan Gooi Hsiao Leung (PH-Bukit Tengah) mengenai langkah kerajaan negeri untuk berkolaborasi dengan Kerajaan Persekutuan di bawah Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) agar dapat membangunkan syarikat rantaian semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E).

Kon Yeow berkata, Pulau Pinang bersedia memainkan peranan dalam menjayakan NSS yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, kerana Pulau Pinang merupakan negeri paling ke hadapan dari segi ekosistem semikonduktor serta E&E di negara ini.

"Biasanya industri mempunyai kesan-kesan limpahan ekonomi kepada sektor lain seperti hartanah, pengangkutan, perkhidmatan dan rekreasi yang merancakkan pembangunan di Pulau Pinang. Cuma ada satu kekurangan, hasil daripada pembangunan ini disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau turut berharap Invest Penang dapat membantu usahawan di negeri itu mengakses insentif di bawah NSS bagi mengukuhkan ekosistem ekonomi di Pulau Pinang.

Semalam Anwar mengumumkan industri semikonduktor Malaysia dijangka mengalami ledakan selanjutnya di bawah NSS dengan negara bersedia untuk menarik sekurang-kurangnya RM500 bilion pelaburan dalam fasa pertama pelan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM25 bilion sokongan fiskal untuk mengoperasikan NSS dengan insentif bersasar, yang butiran terperincinya akan diumumkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri tidak lama lagi. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!