Setiap PBT perlu ada doktor pokok urus landskap - Kor Ming

Kor Ming. Foto Bernama
Kor Ming. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyarankan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai doktor pokok atau arborist dalam perkhidmatannya bagi menambah baik pengurusan landskap di setiap kawasan perbandaran.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, setiap petugas landskap PBT perlu mengikuti kursus arborist anjuran Jabatan Landskap Negara bagi memastikan matlamat berkenaan dapat dicapai.

Mengakui terdapat PBT yang berdepan masalah kewangan dalam melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan pokok, Kor Ming berkata, usaha mewujudkan arborist perlu disusuli langkah memperkemas senarai inventori pokok di kawasan pentadbiran setiap PBT.

"Sebagai contoh, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sudah ada (inventori) jadi mereka tahu pokok mana, jenis apa, mana yang sihat atau perlu dipangkas ikut jadual.

"Penjagaan kesihatan dan penyelenggaraan serta inventori pokok amat penting terutama bagi yang sudah berusia,” katanya.

Kor Ming berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Forum Perbandaran Hijau 2024 dan sempena Hari Landskap Negara (HLN) 2024 di sini pada Ahad.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan buku 200 Malaysia’s Native Trees For Street Planning yang kemudian akan diedar kepada setiap PBT sebagai panduan untuk menambah baik pengurusan pokok di kawasan perbandaran.

Kor Ming berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menyasarkan negara mencapai sekurang-kurangnya RM1 bilion nilai eksport membabitkan penjualan produk landskap menjelang akhir 2024.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penganjuran HLN adalah antara usaha KPKT ke arah mencapai sasaran itu dan melaluinya, negara dapat mempamerkan pencapaian, inovasi, teknologi serta produk membabitkan industri landskap yang dimiliki.

"Kita sudah kenal pasti beberapa pasaran berpotensi tinggi seperti Singapura di mana kebanyakan pokok serta produk landskap yang digunakan dibeli dari Malaysia,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!