Malaysia benam Indonesia, jumpa Thailand di final

Malaysia mara ke final acara berpasukan selepas menewaskan Indonesia.
Malaysia mara ke final acara berpasukan selepas menewaskan Indonesia.
A
A
A

MALAYSIA menepati ramalan mara ke perlawanan akhir acara berpasukan selepas menundukkan Indonesia 2-0 pada aksi separuh akhir kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Kemenangan yang diraih tersebut menyaksikan skuad kendalian Ahmad Jais Baharun itu bakal sekali lagi membuat perhitungan dengan musuh tradisi Thailand pada perlawanan akhir pada Ahad.

Malah, misi lebih besar dimahukan skuad sepak takraw negara apabila tekad melengkapkan hatrik kejuaraan selepas turut berjaya menewaskan Thailand untuk menang acara regu dan double pada Rabu lalu.

Dalam perlawanan pertama, Malaysia yang mempertaruhkan trio Amirul Zazwan Amir, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin berdepan tentangan sengit daripada Abdul Halim Radju, Hendra Pago dan Jelki Ladada.

Namun, kualiti dimiliki pasukan negara memberikan kelebihan apabila memenangi perlawanan tersebut dengan 15-12, 15-9 sekali gus memberikan mata pertama.

Malaysia yang meletakkan trio utama Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias pada perlawanan kedua tidak berdepan masalah untuk menewaskan regu Indonesia 15-9, 15-7 untuk membawa Malaysia ke perlawanan akhir.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Thailand menundukkan Korea Selatan 2-0.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: