Faisal Halim dibenarkan keluar hospital hari ini

Faisal Halim
Faisal Halim
A
A
A

BINTANG Selangor FC, Faisal Halim telah dibenarkan keluar dari hospital hari ini selepas 20 hari menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Shah Alam.

Selangor FC dalam satu kenyataan berkata, Faisal dibenarkan keluar selepas pemerhatian daripada doktor pakar bertugas mengenai rawatan dan pemulihan pemain yang dikenali sebagai Mickey itu sangat positif.

"Pihak kelab dengan penuh kesyukuran ingin memaklumkan bahawa Faisal Halim telah didiscajkan dari hospital setelah menjalani empat pembedahan untuk merawat kecederaan luka lecuran tahap empat, kesan daripada simbahan asid tempoh hari.

"Berdasarkan pemerhatian dan rawatan doktor pakar yang bertugas, pemulihan Faisal Halim daripada kecederaan serius ini amat luar biasa dan menjangkaui jangkaan semua pihak," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, Faisal yang juga pemain sayap kebangsaan mengalami kelecuran tahap empat selepas disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu.

Menurut kenyataan itu lagi, Faisal kini memasuki fasa seterusnya dalam proses rawatan dan pemulihan beliau.

Kelab juga memohon agar semua pihak dapat memberi ruang dan privasi untuk beliau melalui proses pemulihan ini dengan sebaiknya.

"Mari kita bersama-sama terus mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan yang sepenuhnya buat Faisal Halim dan semoga beliau dan keluarga terus diberikan kekuatan mengharungi waktu yang sukar ini.

Artikel Berkaitan:

"Pihak kelab ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Dr Wan Syazli Rodzaian bin Wan Ahmad Kamal, Pakar Unit Plastik & Rekonstruktif, seluruh warga Avisena Specialist Hospital dan Thomson Hospital Kota Damansara yang sentiasa komited dalam memberikan penjagaan komprehensif, serta memberi sumbangan besar kepada rawatan dan pemulihan Faisal Halim.

"Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan juga kepada keluarga besar Selangor FC, pemimpin-pemimpin negeri dan negara, badan-badan kerajaan dan swasta, komuniti bola sepak tempatan dan antarabangsa, dan seluruh rakyat Malaysia yang telah mendoakan kesejahteraan dan memberi dorongan semangat kepada ikon bola sepak negara kesayangan kita," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Sukan Sinar di hospital difahamkan bahawa Faisal telah keluar daripada hospital jam 12 tengah hari tadi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!